Thursday, September 22, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (13) Contengan Jalanan

UA : Cabaran 50 Buku : (13) Contengan Jalanan

Judul : Contengan Jalanan

Penulis : Hlovate

Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.

ISBN : 978-967-5118-53-1

Cetakan pertama, kedua Mei 2011

Contengan pengalaman perjalanan cari Tuhan.

Bicara Ummu Ammar :

Contengan Jalanan. Ini bukan kisah cinta biasa. Ini ceritera hati mencari cinta Tuhan. Kisah Fend dan K-Square. Kisah yang sangat lengkap pada saya. Kisah persaudaraan yang sangat erat. Fend, Chad, Aidid dan K-Square. Yang membesar bersama, mengukir kenangan terindah dalam diri mereka hingga kehilangan Chad menuju syurga abadi amat dirasai.

Sebetulnya, saya tergamam sebaik sahaja menamatkan bingkisan terbaru dari penulis penuh misteri ini. Bukan tergamam kerana tiada cinta di dalamnya, bukan jua kerana tiada penamat antara Fend-Lia dan K-Square-Arin, tetapi tersentap hati dan nurani saya dengan catitan perjalanan mereka mencari erti hidup. Mereka sanggup bermusafir sehingga ke luar Negara mencari cinta Tuhan. Pengorbanan yang bukan sedikit, ketakutan dan kerisauan bermusafir ke tempat yang asing bagi mereka. Tetapi demi mencari erti hidup yang sebenar-benarnya pada Dia mereka serahkan segala.

Fend – Hidupnya hanya dimaknakan dengan lima benda. Kamera, gitar, Dell, HTC dan Ipod. Pendek kata, hidupnya bisa pincang dengan ketidakhadiran benda-benda tersebut. Kerana 24 jam sehari, 7 hari seminggu hanya dihabiskan bersama dengan lima benda tersebut. Seorang Artistik. ‘Freelance photographer’ dan boleh menghabiskan masa berjam-jam lamanya di hadapan Dell kesayangannya untuk sesi meng’edit’ gambar. Merupakan seorang lembut hatinya. Pandai menyesuaikan diri dengan keadaan.

K-Square – Sahabat kepada Fend sejak dulu lagi. Sejak dalam lampin lagi. Dia pemain drum Creepy Hues. Dia seorang artistik. Dia pandai mengadun warna di atas kanvas dan dia juga tahu segala macam pasal muzik. Katanya “there’s no such thing as ‘wrong’ in arts”. Itu prinsip seni baginya. Dia sayang akan Fend dan tidak mahu kehilangan Fend.

Lia – Bukan gadis biasa, dia pernah meminati muzik dan juga lagu-lagu ‘underground’. Dia juga meminati ‘skate’. Dan dia berubah. Berubah kerana The 11th Hour. Berubah kearah yang lebih baik. Lia, perubahan yang dilakukan ingin dikongsikan bersama orang disekelilingnya.

Ingin tahu lebih lanjut tentang ‘The 11th Hour’ yang menjadi asbab kepada perubahan seorang Fend? Temui jawapannya dalam Contengan Jalanan.

Novel ini terlalu istimewa bagi saya. Tiada ungkapan yang boleh saya ertikan untuk bingkisan Hlovate kali ini. Pedoman dan pengajaran terlalu banyak didalamnya. Tidak rugi menjadikannya sebagai koleksi kesayangan anda. Keindahan bercinta dengan Tuhan jua keindahan duniawi yang menghibur hati. Kisah hidup dari gelap malap kepada sinar cahaya yang membahagiakan. Jalanan permusafiran yang menemukan mereka dengan hakikat cinta dan erti hidup yang sebenarnya.

Sekalung tahniah buat Hlovate yang menulis dari hati untuk terus sampai kepada hati-hati para pembaca dalam menyedarkan tentang ‘untuk apakah aku hidup di atas muka bumi ini’..? Terima kasih kerana menulis sesuatu yang bermanfaat dan menyedarkan manusia berserta dengan dalil-dalil dari Al-Quran dan Hadith.

UA : Cabaran 50 Buku : (12) Iman Suraya


UA : Cabaran 50 Buku : (12) Iman Suraya

Judul : Iman Suraya

Penulis : Areila Sahimi

Terbitan: Kaki Novel Enterprise

Halaman: 476 m/s

ISBN : 978-967-5067-61-7

Cetakan kedua – Januari 2011

Kulit belakang novel :

Ajal maut, jodoh pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Di Tanah Mahsuri Iman Radhiff dan Suraya Dania bertemu. Suraya ke sana mahu menghiburkan diri sebelum bergelar seorang isteri. Iman pula membawa diri apabila kisah cintanya tidak menjadi. Di sana mereka berkenalan dan berkawan. Sekembalinya di tempat masing-masing, mereka meneruskan kehidupan seperti biasa. Suraya sudah bersedia untuk menjadi isteri, Iman pula sedang belajar untuk menerima realiti.

Takdir Tuhan, mungkin sudah tertulis jodoh Suraya bukan dengan Azim apabila lelaki itu pergi mengadap Ilahi. Dia tabah meneruskan hidup bersama kenangan dengan lelaki itu. Iman pula, sekembalinya ke rumah, seringkali kenangan bersama kekasih lama yang dikahwini abangnya sendiri dating bertubi-tubi.

Selang beberapa tahun mereka berdua bertemu semula tanpa diduga. Di situ persahabatan kembali terjalin. Isyarat dari tingkah Suraya meyakinkan Iman yang dia tidak bertepuk sebelah tangan. Cinta tanpa isyarat. Datangnya tanpa sedar. Mereka jatuh cinta untuk kali kedua. Namun, di belakang gadis itu sentiasa ada Norman Hakim, lelaki yang punya potensi untuk mana-mana gadis di luar sana jatuh cinta padanya.

Susahkan? Bila kisah cinta sudah jadi ala-ala filem Hindustan. Mujur ada ‘Wonder Pets’ yang sudi membantu dan melengkapkan kisah cinta mereka….

Bicara Ummu Ammar :

Areila Sahimi, seorang penulis yang terkenal dalam kalangan muda-mudi. Saya mula mengenali penulis ini dalam novel keduanya berjudul ‘2x5’ dan Iman Suraya merupakan buah tangannya yang ketiga bersama dengan Kaki Novel Enterprise. Memandangkan ini adalah novel beliau yang ketiga, maka dapat dilihat kematangan penulis dari segi penyampaian dan juga jalan cerita. Benar, pengalaman itu mendewasakan.

Iman Suraya mengisahkan Iman dan Suraya yang bertemu secara kebetulan semasa masing-masing ingin mencari ketenangan di Langkawi. Iman Radhiff membawa diri untuk mengubati hati yang luka. Suraya pula menikmati saat-saat terakhir bergelar bujang sebelum bergelar seorang isteri. Pertemuan yang pada pendapat mereka hanya akan tamat disitu apabila masing-masing pulang ke tempat sendiri.

Hubungan yang sangat rapat antara adik-beradik sangat mencuit hati saya. Suraya dan abang-abangnya sangat rapat. Sikap abang-abang yang sangat mengambil berat akan adiknya. Memujuk, mengambil hati Suraya saat adiknya itu dalam kesdihan meratap pemergian tunang tersayang, Azim.

Masa berlalu datang dan pergi membawa seribu kisah hati. Janji Allah itu pasti. Mereka bertemu lagi. Kali ini bukan di tanah Mahsuri. Tertanya-tanya kebetulan apa yang menemukan mereka? Adakah bunga-bunga cinta memekar indah di hati mereka? Bersatukah mereka walaupun Norman Hakim, lelaki idaman Malaya sering saja mencari jalan untuk memikat atau lebih tepat lagi memaksa Suraya menerima cintanya..? Jawapannya ada di dalam novel Iman Suraya.

Penulis menggarap kisah hati seorang Suraya dengan penuh warna-warni, putih gelap kehidupan. Dengan bahasa yang mudah difahami kerana menggunakan bahasa percakapan harian, maka tidak susah untuk kita turut menyelami suka duka bahagia derita kamus cinta seorang Suraya.

UA : Cabaran 50 Buku : (11) 566 Hari mencari Cinta


UA : Cabaran 50 Buku : (11) 566 Hari Mencari Cinta

Judul : 566 Hari Mencari Cinta

Penulis : Ilya Abdullah

Terbitan: Kaki Novel Enterprise

Halaman: 409 m/s

ISBN : 978-967-5067-70-9

Cetakan pertama - April 2011

Kulit belakang novel :

Firdayu : “Aku mencari cinta semata-mata kerana kemewahan yang bakal aku kecapi dan aku tidak akan biarkan diriku tunduk pada cinta!”

Kid : “Semua orang menggelarkannya ‘posion ivy’. Cantik tetapi beracun. Tetapi aku tak kisah kerana aku akan sentiasa melindungi dia dari sebarang ancaman. Kenapa? Itu adalah tugas yang telah diamanahkan untuk aku.”

Ruzair : “Aku cuba bermain dengan ‘si ular’ ini namun akhirnya aku telah dipatuk. Semakin aku mengenali dia, semakin aku ingin memiliki dia.”

566 hari… tempoh untuk Firdayu mencari cinta kerana satu perjanjian. Cinta senang dicari namun mudahkan untuk mencari cinta sejati? Apatah lagi Firdayu memilih lelaki seperti memilih baju. Yang berjenama lebih diutamakan. Tanpa jenama, dicampak ke tepi.

Bicara Ummu Ammar :

Ini merupakan novel kedua yang saya baca bingkisan Ilya Abdullah selepas novel Coke & Sundae. Berbanding dengan novel sebelum ini, 566 Hari Mencari Cinta banyak kelainannya. Penulis lebih matang dalam mencorakkan setiap watak yang ada. Bacaan yang lebih ringan pada pendapat saya. Mengapa saya klasifikasikan sebagai sebuah bacaan yang ringan lagi santai? Kerana tiada unsur mahupun daya penarik untuk membuat saya teruja dan sebagainya. Tapi tidak mengapa. Bacaan tetap diteruskan sehingga ke helaian yang terakhir.

Kisah seorang Firdayu, wanita berkerjaya yang hebat. Bisa memanah hati setiap lelaki-lelaki kaya yang kacak. Impiannya cuma satu, harta nenek ingin dibolotnya. Bukan hanya rumah agam nenek yang tidak punya apa-apa tetapi kesemuanya. Yang penting dia puas!

Firdayu, dia punya segalanya. Butik hasil titik peluhnya sendiri. Pendek kata, dia kaya. Dia cantik bak bidadari tetapi seksi yang amat. Dia bijak. Bijak dari segala segi. Dari sudut pembelajaran, strategi keuntungan dan dia sangat arif dalam hal pikat memikat mencair likatkan hati-hati lelaki kaya yang kacak. Lelaki pilihannya mestilah berharta, yang kaya dengan wang dan syarikat bukannya lelaki kaya budi bahasa.

Kerja sampingannya adalah memainkan hati lelaki-lelaki itu. Berapa ramai? Tidak dapat dibilang dengan jari ini. Kejamnya seorang Firdayu. Tega memainkan hati dan perasaan mereka. Tidak kira lelaki bujang, kekasih orang waima suami orang. Semua disapunya.

Firdayu ego dan pantang dicabar. Dia menyahut cabaran nenek hanya kerana ganjarannya ialah menjadi pewaris kepada semua harta nenek tetapi bersyarat. Apa syaratnya? Jawapannya ada di dalam novel ini.

Mengapa novel ini diberi judul 566 Hari Mencari Cinta? Berjayakah Firdayu dalam pencarian cinta sejatinya? Anda ingin tahu? Tunggu apa lagi, beli dan baca.

Apa yang masih membelenggu jiwa saat hingga ke saat ini ialah watak Firdayu yang terlalu kejam pada lelaki. Apa yang membuatkan Firdayu tega melukakan hati semua lelaki? Mungkinkah masih wujud watak seperti Firdayu di alam nyata?

Seringkali kita alpa dengan orang yang berada di sekeliling kita. Walhal mereka yang banyak mencorakkan hidup kita. Kerana…kita hanya tahu menghargai sesuatu apabila ia sudah hilang dari pandangan kita.

Sejujurnya, novel ini belum mencapai tahap kepuasan jiwa saya (penulis pun bukan menulis untuk saya seorang sahaja). Mungkin kerana kehendak dan nawaitu saya yang inginkan sebuah bingkisan yang lebih bernyawa dan “real” yang boleh memberi input pada diri saya. Untuk saya jadikan pedoman jua tauladan dalam melayari kehidupan yang mendatang.

Walaubagaimanapun, sekalung tahniah buat Ilya Abdullah. Teruskan menulis. Doa saya semoga penulis akan menghasilkan karya-karya yang lebih baik dan bermakna buat semua pembaca.

UA : Cabaran 50 Buku : (10) Sepupuku Suamiku


UA : Cabaran 50 Buku : (10) Sepupuku Suamiku

Judul : Sepupuku Suamiku

Penulis : Lynn Allyna

Terbitan: Kaki Novel Enterprise

Halaman: 542 m/s

ISBN : 978-967-5067-38-9

Cetakan pertama Mei 2011

Kulit belakang novel :

Siapa kata kahwin dengan sepupu sendiri tak boleh bahagia? Kalau dah cinta, anjing dan kucing pun boleh hidup bersama. Nana dan Hisyam telah membuktikannya. Walaupun perkahwinan mereka hanya kerana ingin menjaga maruah keluarga, tetapi mereka masih mampu hidup bahagia. Cinta yang disemai semakin hari semakin segar mewangi.

Tetapi entah di mana silapnya, badai tak henti-henti melanda. Satu persatu dugaan mendatang hingga merobek tangkai hati mereka.

Si kekasih dating menuntut janji. Nana tak dapat bertahan. Andai perpisahan sudah ditakdirkan buat mereka, dia pasrah.

Bagi Hisyam pula, andai bercerai badan sekalipun cintanya tetap utuh buat Nana. Tiada cinta lain baginya. Hani hanya perosak. Johan hanya dating mengganggu. Tiada goyah walau sedikit pun cintanya buat si isteri.

Ketaasuban cinta Hani pada Hisyam tak dapat disangkal. Pelbagai cara dilakukan agar Hisyam kembali semula padanya. Makin kuat Hisyam menolak, makin kuat dia menarik. Demi cinta, andai terkorban diri sekalipun dia sanggup.

Johan juga begitu. Dalam hatinya hanya ada Nana. Selagi Nana tidak menjadi miliknya, selagi itulah dia akan terus berusaha.

“Abang, hati Nana hanya ada satu. Sekali Nana jatuh cinta, untuk selamanya hati Nana kat orang tu. Nana harap abang mengerti.”

Mampukah mereka menepis segala rintangan yang mendatang? Mampukah mereka membina impian seperti yang diangankan? Berpeganglah pada janji Tuhan dan percayalah pada kuasa cinta.

Andai kau tercipta untukku, kita tetap akan bersatu walau terpisah seribu tahun.

Sinopsis:

Novel ini dibaca ketika saya masih dalam “mood” raya. Oh, tidaklah. Hari Raya ketiga sebenarnya barulah novel ini berjaya ditamatkan dengan jayanya. Sepupuku Suamiku judul diberi. Kata hati saya saat melihat judul buku ini ialah “mesti pasangan dalam novel ini sepupu”. Sememangnya tajuknya begitu. Begitulah acuannya.

Mari mengenali heroin novel ini – Nana. Seorang gadis sunti yang masih menuntut di universiti. Bercita-cita menjadi seorang pendidik. Nana yang telah jatuh cinta pada sepupunya sendiri, Hisyam. Nana patah hati saat mengetahui Hisyam bertunang dengan Hani. Dia redha dengan ketentuan Ilahi. Andai ada jodoh, berpisah tujuh benua sekalipun, cepat atau lambat bersatu akhirnya. Berpegang pada janji Ilahi, dia ada jodoh dengan sepupunya itu. Apa yang menjadi sebab kepada ikatan pernikahan mereka..? Anda kena beli buku ni dan baca dengan penuh penghayatan ya.

Hisyam, hero dihati Nana merupakan seorang doktor yang sangat mengambil berat, memahami, dan penyayang. Kerisauannya pada isteri yang sedang mengandung membuatkan beliau mengambil keputusan untuk tidak membenarkan Nana untuk bekerja. Walhal dia sedar bahawa itulah cita-cita Nana sejak dulu lagi. Menjadi pendidik anak bangsa.

Hani, watak antagonis ini dicipta untuk memporak peranda rumahtangga Hisyam dan Nana. Siapa Hani sebenarnya? Beli dan baca novel ini. Pelbagai strategi telah Hani aturkan semata-mata untuk mendapatkan cinta Hisyam.

Kuatkah Nana menghadapi dugaan ini atau mengalah demi kebaikan dan kesejahteraan insan yang disayanginya? Temui kesudahannya dalam Sepupuku Suamiku karya Lynn Allyna.

Bicara Ummu Ammar :

Jarang sekali kita dengar orang jatuh cinta dengan sepupu sendiri. Tapi tidak mustahil bukan. Kerana cinta dating dengan sendirinya. Datangnya tidak dijemput perginya tidak dihalau. Lynn Allyna menggarap cerita ini dengan penuh rasa cinta yang amat mendalam. Ini dapat dilihat pada watak utamanya, Nana dan Hisyam.

Saya amat kagum dengan watak Hisyam yang berjanji akan setia dan belajar untuk mencintai isterinya pada saat lafaz akad. Itu yang sepatutnya dilakukan oleh semua suami. Tidak kira isteri yang dinikahi itu atas dasar cinta atau paksa.

Terserlah ketidakmatangan Nana dalam membuat keputusan. Sesuai dengan watak Nana yang “terpaksa” bernikah di usia muda. Rajuknya, sikap malu-malu nya apabila berhadapan dengan suami amat berkesan pada saya.

Buku yang mempunyai banyak pengajaran sebenarnya. Bacalah untuk menimba ilmu, kutip segala pengajaran yang ada. Yang baik dijadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan. Mari kita selami hati Nana yang penuh dengan cinta tetapi lebih rela berkorban demi cinta dalam novel ini.

Wednesday, September 07, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (9) Lili Buat Najah


UA : Cabaran 50 Buku : (9) Lili Buat Najah

Judul : Lili Buat Najah

Penulis : Nazurah Aishah

Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.

Halaman: 530 m/s

ISBN : 978-967-5118-02-9

Cetakan kedua Mei 2008


Kulit belakang novel :

Telah kau tunai seribu janji

Satu kau mungkiri…hidup bersamaku…

Aku dan Najah kenal di depan Stadium Old Trafford,

Berkahwin sembunyi-sembunyi di Tanah Ratu. Sekembali ke tanah air, aku dan Najah harus pula menjadi pelakon di depan mama yang sudah ada pilihan sendiri.

Itulah permulaan kisah ini… yang bagaikan sudah terang lagi bersuluh. Apakah aku boleh memilih jalan ceritaku sendiri, Najah? Jika tidak, bagaimana pula dengan perasaan?

Berkorban perasaanlah yang paling memedihkan, kerana perasaan itu tidak pernah ada bau dan warna: lalu sukarnya untuk orang lain memahami, apatah lagi merasai…

Tulis Najah:

Apalah maknanya bulan kalau langit diselubungi mendung

Apalah ertinya mentari kalau sinarnya dihalang gerhana

Jadi bagaimana aku harus terus hidup

Kalau mentari tak mahu berkongsi kehangatannya

Dan bulan tidak mahu meminjamkan sinarnya…?

Najah, sudah jadi fitrah alam… matahari itu tetap terbit dari arah timur, dan bulan pula tetap setia menemani malam.

Bicara Ummu Ammar :

Nazurah Aishah telah lama menulis novel ini. Hanya saya saja yang mungkin ketinggalan sedikit masa ke belakang. Lili buat Najah judul yang diberi. Menjadi hobi saya untuk membuatkan spekulasi tentang tajuk sebuah novel. Dan tuduhan saya untuk novel ini ialah Najah seorang wanita yang gemarkan bunga lili. Sangkaan saya meleset sekali, pada halaman kedua saya temui jawapan. Najah seorang lelaki. Nah, jantung saya terus berdetak bukan dengan kelajuan biasa. Cerita apa ni..? Kisah siapa ni? Lalu, tanpa berlengah saya membaca dan terus membaca melayari ceritera indah suka duka tangis tawa Shahrun Najah – Tasha dengan linangan air mata.

Pada perkiraan saya, inilah kehidupan sebenar. Dalam bahagia yang dikecapi pasti badai dan rintangan menjelma jua menguji kesabaran, kesetiaan juga keimanan kita kepadaNya. Pada siapa ingin meminta pertolongan melainkan Dia yang Esa..? Dia yang mendatangkan ujian dan padaNya juga adanya jalan penyelesaian. Ia juga menyedarkan saya untuk sentiasa bersedia. Bersedia untuk tidak bersedia.

Kisah ini membenarkan bahawa bukan semua orang akan “we live happily ever after”, bukan kisah dongeng Cinderella atau putera katak. Ajal maut di tangan Dia. Semua telah disusun olehNya dengan begitu cantik.

Apa pilihan yang ada pada Tasha melainkan berdoa dan terus berdoa agar suami tercinta sembuh dari penyakit kanser yang dihidapinya. Hal ini sangat mengagumkan saya. Penulis meletakkan Tasha sebagai seorang realist yang sangat bergantung dengan simpati dari Allah. Hanya doa sebagai senjata yang dimiliki. Untuk menyembuhkan suami, dia tidak mampu. Lantas, dua tangan diangkat memohon merayu agar tidak diambil arjuna hati. Kebergantungan Tasha pada Allah sangat tinggi walaupun Tasha sendiri tahu yang Najah tidak mungkin akan sembuh.

Bicara soal Najah. Cinta memungkinkan segala. Kerana jatuh cinta pada Tasha, Najah yang pada ketika itu berada pada tahap agak kritikal bangun melawan penyakitnya atas nama cinta. Dan sekali lagi dapat dilihat pada kuasa cinta iaitu saat-saat kelahiran anak sulungnya. Digagahkan jua diri untuk bersama isteri tersayang dan anak yang baru melihat dunia walaupun tatkala itu Najah berada pada tahap kritikal.

Namun Tasha tetap beruntung kerana dia tahu Najah bakal meninggalkannya. Tapi kita…? Tahukah kita bila masanya Allah nak tarik orang-orang disekeliling kita? Tidak bukan..maka..bersedialah dengan apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku.

Tahniah kepada penulis kerana berjaya menyentuh hati para pembaca. Terima kasih kerana mengingatkan saya tentang Doa. Sesungguhnya peringatan itu sangat berkesan pada saya dan mungkin pembaca lain. Tahniah cik Naz! Moga senantiasa dalam rahmat dan redha Allah. Ameen.

Harini adalah kenyataan..Esok belum pasti…Berdoalah…

UA : Cabaran 50 Buku : (8) Kasih Benar Kasih

UA : Cabaran 50 Buku : (8) Kasih Benar Kasih

Judul : Kasih Benar Kasih

Penulis : Aleya Aneesa

Terbitan: Grup Buku Karangkraf – Alaf 21

Halaman: 496 m/s

ISBN : 978-983-124-668-9

Cetakan 1 - 2011


Kulit belakang novel :

Mereka tak saling kenal, tapi disuruh berkenal-kenalan. Jika sesuai boleh terus melangkah, jika tidak, tarik saja diri. Lalu, mereka mencuba dengan alasan, ‘Dia kosong, aku pun kosong’.

Pertama kali bersua muka, Annura berasa jengkel sedangkan Dinzley bersikap ala-ala lelaki tak berperasaan. Sudahnya, seorang ke utara dan seorang ke selatan. Hati mereka tak bertemu di titik yang sama. Namun, masing-masing tak pernah mengatakan ‘tidak’ sehingga banyak pihak menyangka diam itu tanda setuju.

Sampai masa, mereka benar-benar tak mampu berkata ‘tidak’ bila melihat wajah-wajah penuh harap. Saat sedar mereka tak mungkin berpaling lagi, cubaan demi cubaan dilakukan untuk menembusi hati masing-masing. Paling penting, mereka tak dilabel sebagai pasangan kahwin paksa, tapi kahwin atas tiket suka sama suka. Orang tua hanya talian hayat semata-mata.

Ketika sedar ada sesuatu berdetak tiap kali mata bertentang mata, muncul Syirin menagih janji lama. Sudahnya, janji baru terpaksa Dinzley mungkir walaupun Annura sudah ternampak baying-bayang pelamin nan indah.

Sinopsis :

Menyingkap kisah Annura dan Dinzley yang masih belum menamatkan zaman bujang walhal umur sudah mencecah 30 an. Membuatkan kedua ibu bapa mereka sangat bimbang dengan keadaan itu. Fitrah ibu bapa, menginginkan sesuatu yang terbaik buat anak-anaknya. Orang tua Annura dan Dinzley bercadang untuk menjodohkan mereka berdua. Desakan demi desakan sang ibu buat anak teruna(Dinzley) agar memulakan langkah pertama dalam sesi suai kenal dengan Annura. Bosan dengan desakan dan pertanyaan, Dinzley akhirnya bersetuju untuk menghubungi Annura. Di pihak Annura sendiri apalah salahnya melakukan sesuatu untuk mengembirakan orang tua mereka.

Pertemuan pertama mereka sudah menimbulkan rasa jengkel di hati Annura. Annura jadi geram dengan Dinzley yang dianggapnya terlalu berlagak dan cakap tidak serupa bikin. Mula dengan perasaan geram, timbul perasaan marah dalam segenap ruang hati Annura. Dan…bagi Dinzley, menjadi suatu kemenangan dan kepuasan apabila dia berjaya membuat Annura marah.

Pertemuan demi pertemuan, akhirnya mereka semakin rapat. Namun tiada jalinan perasaan dalam hati masing-masing. Mereka tidak pernah berbicara soal hati apatah lagi perkara berat yang membawa kea rah perkahwinan. Mereka berjumpa untuk mencari keserasian dan persefahaman. Pabila ditanya, mereka tidak pernah berkata ‘tidak’ membuatkan kedua ibu bapa mereka merasakan perkiraan mereka untuk menyatukan Annura dan Dinzley tak pernah salah.

Annura dan Dinley…? Masing-masing tidak sanggup mengecewakan keluarga masing-masing yang sangat mengharap. Lalu, untuk menjaga hati semua pihak mereka bersepakat untuk meneruskan hubungan mereka dengan lebih serius.

Di ambang perkahwinan mereka, muncul Syirin menagih janji lama. Terlupa langsung bahawa suatu waktu dulu Syirinlah yang telah mengingkari janjinya dengan Dinzley. Apa kesudahan hubungan Annura dan Dinzley..? Sila beli dan baca novel ini dengan penuh penghayatan ya..

Bicara Ummu Ammar :

Sedang saya berjalan-jalan di booth Kumpulan Karangkraf di PWTC sewaktu berlakunya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bulan April lepas, saya sangat teruja melihat novel penulis kegemaran saya ini – Aleya Annesa. Hati saya bertambah girang apabila saya melihat Aleya Annesa berada di barisan penulis yang hadir. J Peluang yang ada di depan mata saya gunakan sebaik mungkin. Bergambar dan minta autograph. Rasa di hati tak sabar-sabar nak membaca novel ni, tetapi komitmen dengan kerja membuatkan novel ini sudah lama terperam dalam kotak bawah katil. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga cari masa untuk mengkhatamkan novel ni 2,3 minggu lepas.

Novel ni..? Best sangat. Segala adegan-adegan yang cuba ditonjolkan dalam cerita ini hidup. Jenaka, cemburu, sedih semuanya diadun dengan begitu baik sekali. Tahniah Aleya Annesa.

Di dalam bingkisan ini membuatkan saya terfikir bertapa banyak masa yang telah dibazirkan dan terbuang begitu sahaja hanya kerana tidak berterus terang mengenai perasaan masing-masing. Andainya Annura berterus terang tentang perasaannya, keadaan tidak akan menjadi kucar-kacir sehingga Dinzley sendiri kebingungan. Bertapa perlunya komukasi yang baik dengan pasangan. Hal ini kerana, mata selalu salah melihat. Apa yang dilihat itulah yang ditafsirkan. Oleh itu, jauhkanlah bersangka buruk pada orang lain.

Satu lagi tabiat manusia yang saya tidak gemar, apabila kekasih lama sudah berpunya atau pun sudah bertunang yang menanti hari menghitung detik diijabkabulkan timbul satu perasaan “aku perlu merebut kasihnya kembali”. Benar, kita perlu memperjuangkan cinta hingga ke akhirnya, tetapi bukankah Allah telah mengajar kita suatu cara yang terbaik iaitu Solat Istikharah. Solat Istikharah memohon petunjuk dariNya adakah benar untukmu…Sebagai contoh, watak Syirin. Syirin yang berusaha pulang ke Malaysia kerana Dinzley yang telah bertunang. Dia merasa kehilangan, dia merasakan Dinzley akan setia. Lantas mengambil keputusan untuk menagih janji lama yang pernah dia cantas suatu waktu dulu kerana sakit kanser yang dihidapinya.

Sesungguhnya Allah telah menetapkan ajal, maut, jodoh dan rezeki setiap hambaNya. Bila anda menghidap penyakit kronik, anda memang berdepan dengan maut. Tetapi adakah anda tahu setakat mana riwayat hidup anda akan tamat? Maka jalan yang terbaik ialah berdoa. Dia datangkan penyakit dan padaNya jua ada kesembuhan. Mohonlah padaNya, merayu denganNya. Allah uji seseorang kerana sayangNya kepada hambaNya.

Banyak pengajaran yang bisa kita ambil pedoman dari bingkisan ini. Tidak rugi jikalau anda memilikinya. Apa pun yang baik jadikan sempadan, yang buruk jadikan tauladan. Tidak ada salahnya berkahwin atas kehendak orang tua kerana di situ terletaknya redha kedua ibu bapa. Redha Allah bersama dengan redha kedua ibu bapa.

UA : Cabaran 50 Buku : (7) Bidadari Hujan

UA : Cabaran 50 Buku : (7) Bidadari Hujan

Judul : Bidadari Hujan

Penulis : Noor Azzahra

Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.

Halaman: 508 m/s

ISBN : 978-967-5118-34-0

Cetakan kedua April 2010


Kulit belakang novel :

I

Tanpa diduga tatkala hujan sedang turun pada suatu pagi, aku terpanah dek kasmaran untuk pertama kali.
Dia Bidadari Hujan yang memayungi aku dengan payung cintanya! Aku terpesona pada kejelitaannya.
“Harap-harap esok pagi hujan lagi!” kataku sambil menghadiahinya senyum.
Matanya memanah hatiku dengan busur arjuna. Lalu hari-hari selepas itu, aku bukannya lagi Raimy Haidar yang dulu.

II

Hujan mencurah lagi. Diberinya aku sekaki payung.
“Macam mana saya nak pulangkan?”
Langkah dia terhenti. Aku menanti. Perlahan-lahan dia berpusing kembali menghadap aku.
Oh, dia bukannya Bidadari Hujan aku yang dahulu. Tingkahnya penuh pekerti senyumnya penuh erti.
“Simpanlah andai awak rasa mahu menyimpannya. Buanglah andai awak rasa mahu membuangnya.”

Apa jawab hati aku pada saat ini?


Bicara Ummu Ammar :

Bidadari Hujan…tajuk yang sangat unik sebenarnya. Tatkala melihat akan judulnya, saya sendiri tertanya-tanya apa kaitannya antara bidadari dengan hujan.. Apa yang dapat saya simpulkan ialah saat hujan turun membasahi bumi, akan hadir seorang gadis yang sangat cantik menghulurkan payung untuk berteduh daripada hujan.

Antara yang menarik dalam novel ini ialah, watak utamanya seorang lelaki! Tetapi penulis Berjaya menghidupkan watak tersebut walaupun penulis seorang wanita. Penulis menggarap kisah hidup Rain (nama sebenar Raimy Haidar) penuh dengan suka duka dalam bercinta dan alam rumahtangga.

Seperti kebanyakan novel, kisah kahwin paksa atau lebih sedap didengar sebagai berkahwin dengan pilihan orang tua menjadi plot utama penulis dalam cerita ini. Rain dipaksa untuk menikahi Sofea dan Rain tiada daya untuk menolak apabila nendanya menggunakan alasan yang nendanya sakit teruk dan ingin melihat Rain bernikah dengan Sofea sebelum menutup mata. Apa pilihan yang Rain ada..? Sofea dinikahi, namun kunci hatinya tetap pada Lia. Kekasih awal dan akhir Rain.

Rain ingin meneruskan percintaan antara mereka walaupun Rain sudah menikah.

Lain pula di pihak Lia. Sebagai seorang gadis bermaruah, tidak sesekali akan merosakkan rumahtangga milik orang lain. Biar bagaimana tiada sekelumit pun perasaan cinta Rain pada isterinya. Lia pasrah dengan keadaan. Yang penting, hidup perlu berlandaskan prinsip hidupnya.

Ingin menjadi isteri solehah…? Contohi sifat yang ada dalam diri Sufi Sofea. Sufi Sofea, seawal malam pertama lagi diuar-uarkan bahawa suami yang baru dinikahi itu sudah punya kekasih hati lain. Luka yang sedia ada umpama dicincang lumat lalu dipercikkan dengan asam limau. Sakitnya terasa, pedihnya mendenyut ke merata tubuh. Ah, tidak mengapa. Tugas seorang isteri tetap dilakukan seikhlas hati atas tiket tanggungjawab. Berusaha menggembirakan hati sang suami waima sering tidak diendah, memasak juadah biarpun tidak pernah disentuh walau sesudu..Menggunakan bahasa yang lembut tatkala bertutur dengan suami walau seringkali ditempelak rasa benci si suami. Sedihnya…

Benarlah kata penulis, kasihan itu salah satu cabang cinta! Kerana kasihan timbul kerisauan. Kerana simpati rasa cinta berbunga dihati. Dan kita akan lebih menghargai seseorang saat dia telah hilang dari pandangan.

Kerana…Bahagia itu kita yang cipta, pada Sang Pemberi Cinta serah segala…

UA : Cabaran 50 Buku : (6) Sweet Sour

UA : Cabaran 50 Buku : (6) Sweet Sour

Judul : Sweet Sour

Penulis : Nasz

Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.

Halaman: 570 m/s

ISBN : 978-967-5118-31-9

Cetakan Pertama – Keempat 2010

Kulit belakang novel :

A Yang manis, harum lagi wangi itu Zarul

“Kira orang ni taraf cincin gula-gula ni ajelah.”

“Sepuluh ringgit tu.” Sungguh-sungguh dia cakap.

“Berkira... baru sepuluh dah kecoh... bukannya seribu pun.” Aku jeling dia.

“Banyak cakap pula... kalau tak nak bagi balik.” Dia hulur tangan kiri.

Tak tahu pula macam ni punya seronok apabila dapat cincin... walaupun hanya cincin gula-gula.

“Ni kira orang ‘cuplah’ ni.” Sambung dia lagi.

Aku simpan senyum. Tak boleh senyum depan-depan ni, nanti dia perasan!

B Yang pahit, masam, masin, payau itu Joe Jambul

“Bayar cincin ni.” Kata dia. Betul ke ni, apa yang aku tengah dengar ni.

“What?” aku terjerit di situ.

“Pay for this.” Relaks aje dia mengarah aku lagi.

“Okey... saya bayar!” Aku jeling dia.

Tapi kan, juling biji mata aku tengok bil RM10 000 kat Tiffany tu. Gila ke apa? Batu planet mana dia pakai buat cincin bodoh ni!

Sinopsis :

Secara ringkas mengenai Sweet Sour. Mengisahkan kehidupan seorang Lia, kisah hati seorang Lia..Mencintai dan dicintai. Lelaki pertama dalam hidup Lia, Zarul.. berkenalan sejak di universiti lagi. Lia dan Zarul. Nampak seperti sepasang kekasih walhal mereka jarang sekali berbicara soal hati dan perasaan secara telus. Mereka sering menggunakan kiasan dalam menyampaikan mesej hati.

Hari berganti hari, bulan berganti tahun..Hubungan Zarul dan Lia semakin dingin, mungkin kerana sibuk dengan masing-masing, almaklumlah mereka sudah mempunyai komitmen dengan pekerjaan.

Suatu hari, Zarul ingin ketemu dengan Lia. Gembira bukan kepalang si Lia. Namun, hati yang gumbira itu tersentap dengan sekeping kad kahwin Zarul. Zarul ingin menikah! Dan…bukan Lia sebagai pengantin perempuan. YaAllah, tidak tahu apa yang harus dilakukan Lia, tersenyumkah…? Atau pura-pura bahagia..? atau menangis meraung..? Lia redha.

Selang beberapa minggu, datang lamaran daripada Joe. Bukan lamaran sebagai kekasih, tetapi sebagai suri hidup penyeri syurga rumahtangga. Akhirnya Lia setuju untuk berkahwin dengan Joe. Perkahwinan yang pada mulanya sedingin air batu mula hangat dengan hadirnya cinta antara mereka.

Bagaimanakah kesudahan ceritera cinta Lia..? Setia pada sang suami atau berpaling pada kekasih lama yang lebih memahami..? Benar..antara Joe dan Zarul, mereka sangat berbeza di hati Lia..Untuk mengetahui penamatnya…anda semua kenalah baca Sweet Sour.

Bicara Ummu Ammar :

Novel yang telah lama berada di pasaran, seawal tahun lepas kalau tak silap. Mendengar desas-desus pencinta novel yang novel ni sangat “best” maka UA baru terkial-kial untuk membeli novel ini pada awal tahun hari tu. Dan baru kali ini UA berkesempatan untuk membacanya. Bukan sekali, tapi 2,3 dan 4 kali sudah diulang baca. Bukan apa…UA sangat takut untuk membeli karya-karya dari penulis baru.. Fobia! Tetapi…setelah membaca dengan penuh penghayatan dan berulang-ulang kali, UA sangat menanti-nantikan karya terbaru daripada Nasz.

Bahasa yang penulis gunakan sangat mudah untuk difahami kerana menggunakan bahasa harian yang kita gunakan membuatkan kita lebih mudah untuk menghayati watak-watak yang terdapat dalam novel ini dan terasa dekat di hati.

Bingkisan ini menyedarkan kita sebenarnya. Tidak semua yang kita impikan akan menjadi kenyataan. Kita mengayam kasih bersulam sayang dengan si dia. Tetapi kita tidak tahu adakah si dia benar-benar jodoh dari Tuhan yang dikurniakan buat kita.

Perlunya sikap rasional saat kesedihan menyelubungi jiwa. Lia masih berfikiran positif dan bertindak secara rasional apabila menerima berita perkahwinan Zarul dan Su. Maksudnya disini, kak Nasz berjaya meletakkan Lia sebagai seorang yang tidak terburu-buru mengambil tindakan yang “bodoh” yang sering dilakukan oleh remaja sekarang apabila mereka putus cinta.

Cuma dalam novel ni, UA sangat geram dengan Zarul. Dalam erti kata lain, Zarul sangat pengecut. Terlalu takut akan ugutan-ugutan yang dibuat oleh Joe sehingga memakan diri sendiri. Insan yang dicintai bergelar kakak ipar sendiri. Sadis sungguh!

Paling terkesan apabila Joe seorang yang boleh dikatakan liar, sanggup berubah semata-mata kerana seorang Lia. Kerana Joe berpegang pada hukum Tuhan, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Mungkinkah itu kuasa cinta..? ok, kita pandang dari sudut positif. Allah menghantar cinta melalui Lia untuk Joe kembali menyintai Tuhan seadanya.

Kehidupan manusia, memang ada masam manisnya..Cuma bergantung pada kita bagaimana untuk mengekalkan kemanisannya. Yang masam itu biar dijadikan sempadan dan tauladan. Yang manis kita kekalkan dan tambahkan lagi.