Judul : Arjuna Mencari Cinta
Penulis : Adzlinz Alexandria
Terbitan: JS Adiwarna Sdn. Bhd.
Halaman: 345 m/s
ISBN : 978-967-0201-20-7
Harga : Sem Malaysia = RM 18.00
Sabah/Sarawak
= RM20.00
Cetakan pertama 2011
Kulit
belakang novel :
“Siapa yang suruh kau
bercinta? Setahu aku, di sekolah atau university pun pelajar tak belajar
tentang cinta. Kalaulah cinta itu sangat
penting tentu kerajaan akan wujudkan mata pelajaran cinta.”
“Tapi Nejad dalam
bahaya. Faira betul-betul nak rosakkan dia. Aku tak sanggup nak tengok semua
ni.”
“Jadi, kau nak buat
apa? Kau nak selamatkan Nejad< Kau ingat kau ‘superwoman’? Jangan buang
masalah.”
“Kalau berani bermain
dengan api mesti berani juga tanggung sakitnya kena api”
Susahnya untuk jadi dewasa.
Macam-macam kena fikir, itu, ini, dan terlebih-lebih lagi masalah cinta. Cinta
pula cinta yang bersegi-segi. Siti EZrina suka Nejad, tapi Nejad pula suka
Vilma Faira. Antara mereka pula ada Nur Dalilah dan Iqram Muslimin. Lalu siapakah
yang menjadi pilihan Sang Arjuna Mencari Cinta itu!
***
Adzlinz Alexandria,
penulis lulusan jurusan Syariah Islamiah daripada Universiti al-Azhar, Alexandria
ini menulis kerana percaya dengan tulisan, beliau mampu tebarkan rasa kasih dan
sayang sesama manusia, supaya dunia akan penuh bercahaya.
Bicara Ummu Ammar :
Novel sulung karya Adlinz Alexandria ini agak unik bagi saya
berbanding novel-novel Si Manis 17 yang lain. Melihatkan kepada muka
depannya sahaja menimbulkan tanda tanya di benak saya. Arca yang dihiasi
seorang arjuna yang sedang memegang busung pemanahnya. Cerita perang kah ini?
Atau cereka zaman klasik dahulu kala yang masih menggunakan pemanah sebagai
senjata. Halaman pertama diselak, saya disajikan dengan perbincangan kumpulan 5
sahabat – Hakim, Sufi, Nejad, Hafiz dan Idham yang begitu erat sekali, yang
bertungkus lumus menyiapkan senjata dan bekalan untuk menempuhi peperiksaan
terbesar, SPM.
Saya keliru dalam mewatakkan siapa watak utama, hero mahupun
heroin sebenar dalam naskah ini, sama ada saya yang tidak sepenuhnya menjiwai
ceritera ini atau… tanpa membuang masa bacaan saya teruskan hingga ke noktah
terakhir.
Arjuna mencari cinta berlatar belakangkan Sekolah Menengah Agama
Tun Teja yang berkisahkan tentang organisasi Majlis Pimpinan Pelajar dalam
bahasa sekarang, pengawas sekolah yang diterajui oleh Nejad dan dibantu oleh
Siti Ezrina dan Nur Dalilah sebagai ketua disiplin. Nejad, sebagai ketua
pelajar yang digilai dan diminati lalu menjadi buruan sang gadis dek kerana
wajahnya yang tampan disamping kecemerlangannya yang hebat dalam pelajaran.
Cinta Monyet hadir jua dalam hati si ketua pelajar. Dia leka, dia
alpa, dia hidup dalam dunia perasaannya yang indah-indah saja. Sampai suatu
saat, pelajaran diabaikan, tanggungjawabnya sebagai ketua pelajar disisihkan
atas alasan kekasihnya lebih penting dari segalanya. Dan Nejad kecundang.
Keputusan peperiksaannya jatuh merudum. Namun egonya mengatasi segalanya. Katanya
dia bukan gagal kerana cinta. Teguran Ezrina dibiarkan bersama angin yang lalu.
Nasihat Dalilah dibiarkan sepi, persahabatannya terputus tanpa ikatan.. hanya
kerana Vilma Faira!
Membaca bingkisan ini bisa menjejaskan malah merosakkan reputasi
pelajar sekolah agama, tidak mengapa. Kita lihat dari sudut positifnya karya
ini ialah ia bisa menjadi pengajaran yang terbaik buat anak-anak remaja yang
terlalu ingin merasai dan meng’eksperimen’kan cinta.
Judul : Wanginya, Bunga Rampai
Penulis : Haswida Abu bakar
Terbitan: JS Adiwarna Sdn. Bhd.
Halaman: 366 m/s
ISBN : 978-967-0201-39-9
Harga : Sem Malaysia = RM 19.00
Sabah/Sarawak
= RM21.00
Cetakan pertama Januari 2012
Kulit
belakang novel :
Seri tu tunangan
orang, Arif Azril! Bisik hatinya. Aku tahu. Tapi kalau cinta dan rinduku hanya
padanya, bagaimana? Lalu jahatkah aku kalau merampas tunangan orang?
Seharusnya dari dulu
lagi dia memasang pagar tebal…. Yang paling kebal supaya kata-kata manis dan
pujuk rayu Arif itu tak menyusup masuk, walau senipis udara yang sedang dia
sedut ini.
Akan dia buang rasa
cinta ke dasar sungai ini. Biar mengalir pergi; dan dia tak mahu tahu ke mana
akan berlabuh. Akan disebut nama Haikal setiap kali hatinya menyeru Arif. Akan
disanggah baying Arif kalau singgah di ruang mata.
Ah… mengapa mereka
tidak member ruang kepada si anak untuk mencari teman hidup sendiri? Dan
membiarkan mereka merangka takrif bahagia dalam dalam erti dan cara sendiri.
Ada apa pada pangkal nama “syarifah-syed” ini? Apa sebenarnya yang ada dalam
molekul darah keturunannya sehingga tidak dibenarkan bercampur dengan darah
hamba Allah yang lain?
Bicara Ummu Ammar :
Wanginya, Bunga Rampai… dipersembahkan kepada seluruh warga
pembaca dengan semerbak wangian cinta, kasih dan sayang. Mengisahkan Arif
Azril, tunangan Nurul yang baru sahaja membawa pulang segulung ijazah dari
sebuah university di United Kingdom. Al-kisah… Nurul bukanlah pilihan hati Arif
Azril! Semuanya ‘family planning’.
Syarifah Seri Indah.. klasik kan nama ni. Ada “Syarifah” di
pangkal namanya. Maka.. secara automatiknya bakal suaminya, merangkap tunangnya
akan punyai nama “Syed” di hujung pangkal namanya. Haikal dan Seri dijodohkan
atas alasan hanya “Syed” yang layak mengahwini seorang “Syarifah”!
Bagan Kakap – Di sini lah mereka (Arif Azril dan Seri) bertemu. Saat
kali pertama terpandang wajah indah Seri, Arif terus terpikat! Terus sahaja
melupakan letak duduknya Nurul sebagai bakal isterinya tidak lama lagi. Dan
Seri..? Hatinya berdegup kencang. Kata hatinya mengapa rasa yang bertamu dalam
jiwanya saat ini tidak ada pada Haikal?
Hati mereka melagukan irama cinta yang serupa. Mereka lupa akan
status mereka. Kata Arif : Aku perlu perjuangkan cinta ini. Kata Seri..?
Ah.. payahnya hidup apabila diaturkan keluarga, apatah lagi soal
nikah kahwin yang bukan untuk sebulan dua, tetapi untuk seumur hidup.
Hakikatnya pilihan keluarga itulah pilihan yang terbaik buat kita. Dan yang
paling penting redha Allah bersama dengan redha kedua-dua ibu bapa.
Perjanjian itu menjerat Arif dan Nurul walaupun seringkali
dimungkiri oleh mereka-mereka yang berkenaan. Dan mereka ditimpa penyakit yang
disangkakan sebagai kafarah kerana mereka telah memungkiri janji apatah lagi
janji yang dimeterai itu dilakukan di tampat yang paling suci – Mekah al-Mukarramah.
Falsafah janji itu.. harus ditepati! Namun bila berkait dengan soal ajal, maut
dan jodoh seorang insan, semuanya sudah tersusun di Lauh Mahfuz sejak dulu lagi
tiada siapa yang mampu menolak dan melawan jodoh yang telah ditetapkan Nya.
Menyelami hati mereka bukanlah semudah yang disangkakan. Ketahui kesudahan ceritera cinta mereka dalam Wanginya, Bunga Rampai. Di dalamnya ada keindahan budi dan kesantunan alam yang digabungkan menjadi sebuah naskah yang begitu indah untuk dimiliki.
Judul : Saya bukan Minah Perasan!
Penulis : NASHMIN
Terbitan: JS Adiwarna Sdn. Bhd.
Halaman: 373 m/s
ISBN : 978-967-0201-44-3
Harga : Sem Malaysia = RM 19.00
Sabah/Sarawak
= RM21.00
Cetakan pertama Mac 2012
Kulit
belakang novel :
Wajahnya bertukar rona merah geram, keranaku. Dan keranaku juga tebing
matanya seakan-akan hendak pecah dengan air mata. Bukan aku tidak dapat rasa
asakan-asakan sebal hati yang sedang menendang jiwanya.
Semuanya keranaku: aku yang lepas mulut; aku yang babas mulut; aku yang
celopar mulut. Akulah orangnya.
Huh… aku tidak mengerti bagaimana bermanis bicara dengan wanita yang
bukan muhrim. Aku tidak pernah diajar sedikit pun bagaimana mahu menuturkan
kata santun dengan wanita ajnabi – yang sah untuk dikahwini – seperti dia:
intan payungku; panahan asmaraku; jantung hatiku; buah hatiku.
Dialah ‘Insyirah’ku. ‘Insyirah’ yang maknanya kelapangan; yang maksudnya
kegembiraan. Insyirah yang melapangkan dan menggembirakan hatiku.
Mengapa harus ada dia ketika aku sedang mengeraskan dan mengeringkan hati
untuk berjuang demi memastikan tanah pusaka ini tidak hilang dirampas kaum
kerabat sendiri yang haloba?
***
Tulisan NASHMIN memang terasa santai ketika membacanya, kita terbuai… tak
terasa pun sarat serta berat ilmu sosioekonomi dan politik yang NASHMIN sedang
apungkan di minda.
Bicara Ummu Ammar :
Buah tangan kedua dari NASHMIN nyata tidak mengecewakan saya. Jika
dulu.. saya terhibur dengan Maaf, saya buka bibik!, novel sulungnya,
untuk kali ini gelak tawa turut menghiasi diri saya. Dengan gaya bahasa nan
indah mempesonakan sentiasa membelai jiwa saya.
Mari berkenalan dengan pelakon-pelakon yang menghiasi pentas Saya
Bukan Minah Perasan!
Zahran bin Ahmad – Anak kepada seorang ustaz yang sememangnya
mewarisi sifat-sifat yang selayaknya pada seorang ustaz meskipun dia seorang
pemegang ijazah Sarjana Muda dari UK dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Dalam
tiap tutur bicaranya pasti ada sesuatu mesej yang ingin disampaikan tidak kira
sama ada daripada hadith Rasulullah, terjemahan ayat al-Quran mahupun
kisah-kisah sahabat juga para tabi’in. Dia segak, bertanggungjawab malah penuh
dengan kasih sayang. Cuma.. ada satu yang kurang. Dia seringkali menyalah
tafsir dalam menebak hati seorang wanita. Pada keamatannya, dengan berkelakuan
kasar, bermulut celupar, berkata sesuka hati sesedap rasanya saja dengan ‘Indah’nya
itu, Indah akan merasa selesa dengannya. Maaf ye encik Zahran, awak silap sama
sekali!
Insyirah – wajahnya seindah purnama di malam gelita. Dialah ‘Indah’
kepada Zahran. Seorang gadis dari kota metropolitan yang membawa diri ke desa
Kodiang membawa hati yang lara. Saat tersedar dari lamunan buaian perasaan. Dia
hanya dipermainkan. Hampir 3 tahun menyimpan perasaan pada “Si Putera Kembang
Kempis” gelaran yang diberikan pada si lelaki yang telah memainkan hati dan
perasaannya. Lelaki yang meletakkan hatinya dijalanan seperti tiada harga. Di
daerah Kodiang inilah dia belajar segalanya. Dia berkenalan dengan sahabat
kecilnya yang pernah mengatakan padanya tentang azab Allah pada wanita yang
mempamerkan mahkota rambutnya kepada umum. Dek kerana malu dengan sahabat
kecilnya itu dia mula menjinakkan diri dengan selendang. Alhamdulillah, sungguh
niat di hati boleh ditukar atas izin Allah. Dia mula menjadi solehah. Menjadi
solehah dengan penuh keikhlasan kerana takutkan Allah dan menginginkan balasan
yang baik-baik di akhirat kelak. Dia mula menjadi wanita sejati. Wanita yang
sudah tidak kekok lagi untuk berada di dapur. Dia tidak malu untuk belajar akan
sesuatu yang baik. Tapi.. dia sangat keras kepala dan sensitive, mudah sentap!
Zahran & Insyirah – pertemuan kali pertama mereka menimbulkan
dendam di benak Insyirah. Dia sentap apabila diperli oleh Zahran. Lalu, dia
meletakkan kulit pisang di laluan Zahran sehingga membuatkan Zahran jatuh
terjelopok. Ada saja yang tidak kena apabila mereka bertemu mata. Ada saja
gurauan kasar daripada Zahran untuk si Insyirah dengan harapan apabila dia
dapat menimbulkan kemarahan Insyirah dia dapat mendengar suara Insyirah. Dan
Insyirah… marah, geram, tension sentiasa bersamanya apabila berkaitan dengan
Zahran. Airmata nya? Pernah mengalir kerana Zahran si mulut tiada insuran itu.
Pada Zahran.. apabila hati sudah disampuk cinta, marahlah, tengkinglah semuanya
pasti akan menjadi indah.
Ketahui kesudahan ‘perang’ antara mereka, salami titik
persefahaman antara mereka dalam Saya Bukan Minah Perasan!
Tahniah kepada NASHMIN atas bingkisan yang penuh dengan kasih
sayang dan diselitkan jua dengan nasihat-nasihat yang terus menusuk kalbu saya
terutamanya. Banyak pengajaran yang bisa dipelajari melalui novel ini. Soal
politik juga disisipkan di dalamnya namun kerana olahan yang bijak oleh penulis
membuatkan saya sendiri tidak akan soal itu. Ianya tepat buat pembaca yang
inginkan kelainan dalam sebuah karya. Inti ceritanya mempunyai segala rencah
kehidupan.