Sunday, October 23, 2011

Untuk perhatian : hati....




Allah yg menggerakkn kita mampu tersenyum walau dalam keadaan menangis..
Tempat bertahan ketika kita hendak menyerah..Tempat berdoa ketika hilang tempat mengadu & ketika semua orang menjauh...Tempat untuk kembali bangkit sekalipun hati kita telah hancur berkali-kali..Tempat untuk tetap mengerti ketika tak ada satupun terlihat memberi erti dn semangat..Segala sesuatu yg terjadi Allah lebih memahami hati kita melebihi diri kita sendiri..

Wednesday, October 19, 2011

Ceritera hati ~ Ramadhan 1432H ~ (1)



Ramadhan datang lagi.
Pesta Ibadah kembali lagi.
Terima kasih Tuhan kerana menemukan aku dengan Ramadhan yang penuh barakah ini.
Alhamdulillah wa syukurillah..

Secara tiba-tiba, terlintas di benakku..Mungkinkah ini Ramadhan yang terakhirku? Bersediakah aku untuk itu? Lantas..niat diperkemas. Hati bergetar hebat. Takut.. Ya, memikirkan umur yang tidak tahu bila tamat tempohnya khidmat sebagai khalifah di muka bumi.

Niat sudah ada. Persiapan diperkemas. Ilmu Ramadhan perlu dipenuhi untuk menempuh akademi Ramadhan yang menjamin Ijazah Ketaqwaan dan Sarjana sucinya jiwa. Ganjaran pahala dan syurga abadi menanti bagi insan-insan yang berpuasa. Dan..aku inginkan itu...pahala yang seterusnya membawaku ke syurga abadi disamping ketenangan jiwa yang menjanjikan kebahagiaan. Ramadhan itu bulan maghfirah. 




Ramadhan kali ini kurasakan lebih indah kerana aku benar-benar memaknakan Ramadhan itu sendiri. Bermula dengan juadah berbuka puasa yang disediakan oleh umi serta adik-adikku. Riuh ketika di dapur usah dikata, agaknya, satu Kuantan boleh dengar! :)

Diserikan lagi dengan solat Terawih berjemaah biarpun hanya dilakukan di rumah. Keadaan umi yang sebegitu tidak memungkinkan untuk kami solat di masjid berdekatan sementelah abah pula berada nun jauh di Terengganu. 

Sedang enak menikmati nikmat Tuhan yang tiada penghujungnya aku dikhabarkan dengan suatu berita...berita mengejutkan.. Dia...yang pernah wujud dalam relung hati ini...Dia yang pernah ku impikan untuk menjadi imam ku suatu hari nanti...Dia...yang pernah ku bayangkan dalam angan-angan ku untuk menjadi ayah kepada anak-anak ku kelak telah pun selamat.......................

Dan aku.....??

Bersambung.....

Tuesday, October 18, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (18) Jauh dari Cinta


UA : Cabaran 50 Buku : (18) Jauh Dari Cinta

Judul : Jauh Dari Cinta

Penulis : Adah Hamidah

Terbitan: Karyaseni Enterprise

Halaman: 636 m/s

ISBN : 978-967-0246-06-2

Cetakan pertama September 2011

Kulit belakang novel :

NYSA SAKINAH.

Cintanya pernah ditolak oleh abang angkatnya, Farish Aqil. Namun Farish Aqil kembali menagih kasih, lalu dengan rela dia menerima. Satu penemuan membuatkan dia kembali sedar, siapa dirinya. Lantas dia terikat dalam perkahwinan yang menjerat.

"Duduk berkurung dalam bilik ni kenapa? Makan tak... minum tak, nak sangat jatuh sakit ke? Nysa ingat kalau kurung diri macam ni dapat selesaikan masalah?"

"Masalah dah lama selesai kalau Abang Aqil tak datang masa majlis pernikahan kita dulu."


"Oh... jadi Nysa nak salahkan abanglah ni? Kalau abang tak boleh jatuh cinta dengan Nysa, kenapa Nysa nak salahkan abang pula? Kalau Nysa dah tahu yang abang tak pernah cintakan Nysa, buatlah sesuatu supaya abang boleh jatuh hati pada Nysa, jangan duduk berpeluk tubuh dalam bilik macam ni aje!"

Namun Nysa Sakinah, tidak terdaya dia melakukan semua itu. Lantas dia bertindak menjejaki wanita yang selama ini dicintai oleh suaminya. Kembali memulangkan bahagia buat suaminya.

FARISH AQIL.

Hati lelakinya dicabar, lantas dia terpaksa memulakan semua sedangkan hanya Lily dihatinya. Takkan ada wanita lain.

"Tolong kekal jadi adik abang sampai bila-bila. Abang betul-betul selesa dengan keadaan macam ni."

"Abang Aqil boleh anggap yang permintaan Abang Aqil tu dah tertunai sepenuhnya sebab memang Nysa hanya akan kekal sebagai adik Abang Aqil sepanjang hayat Nysa. Semua dah cukup jelas."


Bagi Nysa Sakinah, bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi! Maka, kerana dia seorang isteri, pengorbanan adalah hadiah teristimewa buat seorang suami!

Sinopsis :

Bingkisan cinta terindah Nysa Sakinah buat sang jejaka yang berjaya mencuri hatinya tanpa sedar. Dia pernah jatuh cinta pada abang angkatnya sewaktu dia masih bergelar siswi. Dia pernah memberi seluruh jiwanya pada yang bergelar tunangannya. Dia menghamparkan seluruh cinta, kasihnya, jiwa raganya pada yang hak – suami. Semuanya diberikan tulus ikhlas dari dalam jiwa untuk orang yang sama – Farish Aqil.

Cintanya pernah dipersiakan suatu waktu dulu. Lantas, perlu diapakan lagi cintanya itu? Dikuburkan? Atau disimpan kejap di sudut jiwa paling dalam?

Suatu saat, dia dipanggil pulang. Ada yang datang merisik khabar. Dia dilarang sama sekali untuk menolak. Ayahnya berkeras! Lalu, apa pilihan yang dia ada…? Siapa jejaka itu? Dr. Farish Aqil. Aqil juga mendesak untuk dia menerima Aqil sebagai tunang.

Suatu penemuan membuatkan dia tekad untuk mencari bahagia buat insan yang dicintainya. Apa yang telah Nysa temukan? Berjaya kah Nysa dalam menyatukan dua hati walaupun hatinya luka parah sendiri. Mari kita gali dan selam kisah hati penuh sadis dalam Jauh dari Cinta.

Bicara Ummu Ammar :

Jauh dari Cinta.. Melihat pada judulnya sahaja membuatkan UA merasakan ini adalah kisah cinta yang sadis. Yang bakal membuatkan seantero pembaca berada dalam lautan airmata. Pada dasarnya, jalan ceritanya amat mudah tetapi diselitkan dengan suatu rasa yang dinamakan ‘pengorbanan’ membuatkan penceritaannya seperti sesuatu yang kompleks.

Pendek kata, Jauh dari Cinta adalah sebuah kisah cinta penuh dengan pengorbanan. Nysa malu yang amat apabila cintanya ditolak mentah-mentah oleh sang jejaka atas alasan ‘Nysa hanya adik abang’. Lalu, dia mengambil keputusan untuk tinggalkan semuanya. Putuskan persahabatan juga ikatan ‘adik-abang angkat’.

Nysa punya cinta yang amat mendalam buat Aqil lantas dia mengambil keputusan untuk berkorban apa sahaja asalkan cinta hatinya itu bertemu bahagia dengan insan yang dicintainya. Yang pastinya…cinta Aqil bukan miliknya. Ya..cintanya pada Aqil cinta paling Agung. Namun, cintanya pada Tuhan tiada tandingan. Dia mengadu padaNya saat hatinya luluh dikecewakan sang suami, dia merintih pada sang Pencipta saat jiwanya ketandusan kasih sayang suami yang tidak menghiraukannya. Dia berbicara dengan sang Pencipta cinta memohon petunjuk semoga perancangan yang dicipta buat kebahagiaan suaminya mendapat restuNya.

Bahagiakah kita andai si dia bahagia? Benarkah itu dinamakan bahagia pada hakikatnya hati kita sendiri kita cincang lumat dan dititiskan dengan air limau. Pada pengamatan UA, tidak wajar pengorbanan Nysa itu. Kerana dia lebih berhak ke atas Aqil – suaminya. Bukannya menunjuk jalan membuka ruang untuk membiarkan Lily merampas segalanya. Nysa sepatutnya lebih mempertahankan dirinya dan keluarga syurga rumahtangga yang baru saja dibina.

Namun itulah definisi cinta Adah Hamidah yang disampaikan melalui Jauh dari Cinta. Benar, cinta itu membahagiakan. Cinta itu mendamaikan. Namun, cinta itu juga bisa mematikan jiwa. Tahniah Adah Hamidah!

Sunday, October 16, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (17) Hanya Dia Sufi





UA : Cabaran 50 Buku : (17) Hanya Dia Sufi

Judul : Hanya Dia Sufi

Penulis : Lili Norlaili

Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.

Halaman: 430 m/s

ISBN : 978-967-5118-64-7

Cetakan pertama Julai 2011

Kulit belakang novel :

ada rasa sesal setelah aku membuka luas hati ini untuk dia mentadbirnya

Ini kisah Sufi Najiha yang terlalu berahsia. Sufi Najiha memang sentiasa ceria, tapi siapa tahu apa yang berlagu dalam hatinya? Sudah begitu banyak dia menanggung derita; sudah begitu lama kisah silamnya tersimpul rapi. Dia dipaksa memilih dan akhirnya dia sendiri terperangkap dengan pilihannya itu. Dia tinggalkan sebuah cita-cita untuk sebuah kebahagiaan yang bukan miliknya.

Tapi sampai bila, dia harus mengalah dengan hati?

Setelah sepuluh tahun berlalu dia bertemu semula dengan ‘suami semalam’nya itu semula.

“Kenapa diam? Tak ada apa-apa yang nak

‘diupdatekan untuk one night husband’ awak ni?”

Bagaimana untuk membuang Shah daripada hati, kalau dia tidak pernah sekali pun melupai ‘suami semalam’nya itu.

* * *

LILI NORLAILI memilih Hanya Dia Sufi untuk ‘melukis’ hati Sufi Najiha – gadis manis yang terpaksa dewasa sebelum waktunya. Lalu Hanya Dia Sufi telah mematangkan Sufi Najiha dan juga tulisan LILI NORLAILI.

Bicara Ummu Ammar :

Hanya Dia Sufi memaparkan lukisan hati seorang Sufi Najiha. Sebuah novel yang UA kira penuh dengan ‘tiba-tiba’. Bukan apa, setiap yang berlaku pasti secara tiba-tiba. Tak ada angin, tak ada rebut, mereka sudah mengungkap rasa hati masing-masing walaupun tiada apa yang terungkap sebenarnya. Dan ini merupakan kelebihan novel ini atau lebih tepat lagi jalan cerita yang bersesuaian dengan umur watak utamanya – Sufi Najiha.

Sufi Najiha – Seorang gadis yang telah dicuri hatinya tika umur baru meningkat setahun jagung. Masih mencari apa itu makna cinta dari segala sudut. Di Texin Instrument, segalanya bermula. Jatuh cinta dengan bos sendiri yang jurang umurnya hampir sepuluh tahun. Ah, pedulikan itu semua. Andai hati mula membisik cinta, semuanya tidak akan menjadi halangan. Cintanya pada Shah tiada galang gantinya.

Shah – Jejaka yang senatiasa tersenyum ini merupakan anak bongsu kepada pasangan Maria dan Rahmat. Sudah menjadi suatu tradisi kepada Puan Maria untuk mencari jodoh buat kesemua anaknya. Shah tidak terkecuali. Lelaki matang berusia 28 tahun ini sanggup melakukan apa sahaja asalkan dia dapat bersama dengan Sufi hatta meingkari perintah ibunya. Dia ingin melayari bahtera rumahtangga hanya dengan Sufi nya. Hanya Sufi yang bertakhta dalam hati nuraninya.

Penulis – Lili Nurlaili – menggarap kisah cinta Sufi dan Shah dengan penuh rasa cinta dan pengorbanan. Walaupun pengorbanan yang UA kira merugikan kedua-duanya sekali. Pengorbanan yang jika diselitkan dengan sedikit kesabaran dan diadun dengan sedikit kekuatan pasti bahagia menjadi hak mutlak mereka. Tahniah kepada penulis.

Cuma terdapat beberapa adegan yang UA tidak berkenan. Contohnya seperti Sufi yang mengambil jalan mudah untuk berkahwin dengan kekasih hatinya tanpa pengetahuan sesiapapun. Tidak difikirkan langsung perihal hati ibu yang bersusah payah mendidiknya dengan penuh kasih sayang. Tidak cukup dengan itu, atas dasar ‘pengorbanan’ ditinggalnya pula sang suami terkontang-kanting sendirian melayari hidup seorang diri. Bukan dia tidak sedar itu semua membawanya lebih dekat dengan neraka.

Itu bisa dijadikan pengajaran oleh kita semua. Bacalah Hanya Dia Sufi untuk selami jiwa anak muda seorang Sufi Najiha dan hati lelaki seorang Shah yang setia pada cinta.






Saturday, October 15, 2011

Ceritera hati ~ Sya'ban 1432 ~ (2)

Kesedihan membanjiri segenap ruang hati ini




Benar, aku kecewa sekali. Menangis? Usah ditanya soal itu kerana air mata ini belum pernah kering untuk itu. Impian yang hanya tinggal harapan. Aku tak dapat sambung degree.

Aku malu pada umi dan abah, along serta adik-adik ku yang lain. Juga malu pada sahabat-sahabat yang lain. Sehingga aku mula memikirkan untuk tidak mahu menghadirkan diri pada Hari Konvokesyen pada 30 Julai nnti. Mahu dijawab bagaimana pada semua pensyarah yang pastinya akan bertanya 'kamu dapat sambung kat mn..?'..Kecewa, sedih, dan malu bercampur menjadi satu. Seharian aku menangis memikirkan nasib aku yang seterusnya. Masa depan aku..

Hari berganti hari, aku masih meratapi nasib diri.

.
.
.
.

Suatu detik..aku bersendirian. Memikirkan secara rasional. Mengapa aku perlu begini? Benar, aku kecewa. Tetapi pada siapa yang perlu aku kecewakan..? Orang yang menguruskan UPU? tidak. kerana ianya online sistem.

Pada diri sendiri? tapi kenapa..? CGPA ku agak memberangsangkan (TQ Allah).

Secara tiba-tiba hatiku bergetar hebat. Adakah aku kecewa dengan ketentuanNya..? Adakah aku marah padaNya..Astaghfirullah al-'adzim...Dan air mataku mengalir lagi untuk kesekian kalinya.

Ampunkan hamba Mu ini yaAllah. Saat ini malu ku kian meningkat. Malu padaNya. Ya Allah...
aku terlupa...

Lupa akan setiap apa yang Dia tetapkan padaku pasti ada hikmahnya. Dan aku...perlu mencari hikmah tersebut.

Aku juga terlupa bahawa hanya Dia yang tahu apa yang terbaik, lebih baik untuk ku.

Aku lupa, mungkin Dia telah merancang sesuatu yang sangat indah buatku untuk masa depan ku. Yang aku sendiri tidak tahu akan hal itu.

Aku lupa....Dia penentu segalanya...Takdir itu dibawah kekuasaanNya. Siapa aku untuk mempersoalkan hal itu..




Ya Allah kerdilnya aku disisiMu. Ampunkan aku kerana telah bersangka buruk terhadapMu hanya kerana tidak memenuhi permintaanku. Ampunkan aku ya Allah kerana berputus asa dengan diri ku sendiri walhal hal itu bukanlah suatu pengakhiran sebuah kisah hidup ini. Ya Allah, ampunkan hamba Mu ini kerana melebihkan orang lain dari Mu walhal Engkau yang lebih mengerti akan diri ini. Jangan sekali-kali jauhkan aku dari Mu ya Allah. Hilangkan lah kesedihan dalam hati dan jiwa ini. Kau tunjukkanlah untuk aku terus melangkah... Temukan aku dengan hikmah Mu. Lapangkanlah dada ini dengan ketentuanMu.

*******

Moral of the story...

Kesedihan yang berpanjangan sebenarnya tidak membawa apa-apa kesan pun. Menangislah andai itu bisa menenangkan hati. Tapi kan lebih indah andainya aku menenangkan hati dengan zikrullah..

A028


"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
Ar-Ra'd : 28

Letakkan Allah yang pertama dalam hidupmu. Kita sering mendahulukan orang lain daripada Allah. Walhal Allah itu senantiasa dekat dan Dia penuh dengan kasih sayang. Dia uji kerana Dia sayang..

Friday, October 14, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (16) Ikhlas, A.K!

UA : Cabaran 50 Buku : (16) Ikhlas, A.K!

Judul : Ikhlas, A.K!

Penulis : Nirrosette

Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.

Halaman: 528 m/s

ISBN : 978-967-5118-65-4

Cetakan pertama Ogos 2011

Kulit belakang novel :

Kata Adam Khalis:
Hidup ini tak boleh berdasarkan ‘saya-suka-awak’ dan ‘awak-suka-saya’… and we live happily ever after – aman bahagia untuk selamanya. Tak semudah itu, Kaseh. Hidup ini ada duri dan ranjau.

Kata Kaseh:
Bagaimana kita berbeza macam langit dengan bumi; Kaseh tak kisah. Kaseh sanggup buang apa sahaja demi Adam; termasuklah tidak mewarisi harta benda daddy. Kaseh sanggup hidup macam orang biasa. Percayalah, Kaseh bersedia memberi semuanya, kerana sekali dalam hidup Kaseh, apa yang Kaseh ‘tahu’ apa yang Kaseh ‘mahu’ hanyalah Adam Khalis!

Kata Orang:

opposite attracts. Bad girls go for good guys. True much? Tapi…sejauh manakah kebenaran teori ini? Boleh ke Adam – stok budak masjid, bertahan dengan Kaseh – playgirl of the century? Well, we’ll see, we’ll see! Smile … opps, dan jangan lupa Adam bakal menjadi kekasih yang ke-34 Nur Kaseh Kaisara!

Bicara Ummu Ammar :

Percubaan pertama Nirrosette dalam bidang penulisan nyata tidak sia-sia. Ikhlas, A.K!…Selain daripada judulnya yang luar biasa, sinopsis di kulit belakang juga telah menjadi pemangkin kepada keterikatan hati UA dengan Ikhlas, A.K! Kalau UA pun sudah teruja, bagaimana pula dengan anda?

Percayalah..tidak rugi memiliki naskah ini. Garapan sepenuh hati dari penulisnya. Ada mesej yang ingin disampaikan. Ada pengajaran yang perlu dijadikan iktibar. Ada peristiwa yang mematangkan kita. Ada pengalaman yang bisa menjadi panduan. Ada tingkah yang perlu pada sempadan. Dan ada kalam-kalam Tuhan yang dijadikan sebagai penguat dan bukti kepada segala sesuatu.

Pastinya Nirrosette menulis dari hatinya. Kerana menulis dari hati akan terus sampai ke hati. Hati UA yang pastinya. Mengingatkan UA bahawa suatu niat yang mulia itu tidak pernah menghalalkan cara. Terima kasih Nir.

Sepintas lalu berkenaan Ikhlas, A.K! Berkisarkan hidup seorang Nur Kaseh Kaisara. Bagaimana kisah penghijrahannya dari keadaan yang luar biasa kepada keadaan biasa. Mengapa UA katakan luar biasa? Kerana ia sangat luar biasa bagi seorang muslim itu yang tidak tahu menahu tentang agama yang dianutinya. Seperti Kaseh sendiri yang sememangnya tidak didedahkan dengan cara hidup Islam apatah lagi peraturan Islam. Apa itu aurat, solat dan sebagainya.

Lain pula ceritanya dengan Adam Khalis. Jejaka tampan dari Fakulti Kejuruteraan yang pernah menjadi budak masjid suatu ketika dahulu. UA gelarkan Adam sebagai seorang pencinta paling agung. Perihal Adam yang telah lama mencintai seorang Kaseh. Terlalu lama dahulu. Sewaktu Kaseh belum perasan akan kewujudan Adam.

Jadikan Ikhlas, A.K! sebagai salah satu koleksi anda. Tidak rugi anda memilikinya dan yang pastinya banyak pedoman dan iktibar yang bisa di kutip daripadanya.

UA : Cabaran 50 Buku : (15) Menunggu Hujan

UA : Cabaran 50 Buku : (15) Menuggu Hujan

Judul : Menuggu Hujan

Penulis : Adileah

Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.

Halaman: 447 m/s

ISBN : 978-967-5118-56-2

Cetakan pertama Mac 2011

Kulit belakang novel :

Kata dia, “Tak boleh ke panggil Lis? Sedap apa nama tu.”

Jawabnya pula, “Tak boleh. Tak suka. Macam ‘list’ barang apabila awak panggil saya Lis.”

Jawab dia kembali, “Saya panggil awak ‘dear’ atau sayang boleh tak?”

Dia tak mahu layan. Hatinya sudah ada irama yang sedang bergetar. Mana boleh ditunjukkan di hadapannya. Rahsia hati mesti di simpan diam-diam.

Itu cerita silamnya. Cerita sekarang sudah berbeza.

Jauh merentasi benua, masalah tidak juga selesai. Lama dia menyepi, rindu itu tidak juga padam. Diam dia tidak memanggil namanya, rasa itu tetap terpahat di situ. Semua itu tidak pernah pergi jauh darinya

Dunia bagaikan terhenti berputar apabila dua jiwa yang terpisah bertemu kembali dalam satu rasa yang sama. Rupanya... rasa yang dia cuba nafikan itu masih ada dan tidak pernah padam. Dia sudah letih untuk berlari.

Satu hari si dia datang padanya dan kata si dia pada saat itu, berilah rasa itu kepadanya biar semua kesakitan hilang. Bolehkah begitu?

Sinopsis :

Ini kisah hati seorang wanita cekal diberi nama Malisa. Malisa merupakan seorang graduan dari sebuah university tempatan. Tetapi dek kerana persaingan untuk memasuki alam pekerjaan terlalu sengit membuatkan Malisa mengambil keputusan untuk bekerja sementara sebagai pembantu di rumah Cik Puan Juita yang kaya raya dikampungnya.

Menjadi pembantu kepada Cik Puan bukanlah sesuatu yang mudah. Cik Puan lumpuh. Dan Malisa, bukan bekerja sekadar untuk mengisi masa lapangnya sementara menunggu kerja tetap. Dia mempunyai misi. Misi untuk merubah kehidupan majikannya itu yang terlalu pasif kepada seorang yang lebih aktif kerana pada pengamatannya, Cik Puan bukanlah lumpuh keseluruhan tubuh tetapi hanya sebahagian sahaja. Maknanya, Cik Puan masih mempunyai peratus yang tinggi untuk pulih seperti sedia kala.

Di situ bermulalah perkenalannya dengan sang jejaka berkulit putih, Hafiz yang juga merangkap cucu kepada Cik Puan. Detik waktu berlalu tanpa henti menimbulkan bibit-bibit cinta berbunga sayang antara keduanya. Walhal ketika itu Hafiz bergelar tunangan orang dalam masa yang sama baru sahaja putus kasih dengan kekasihnya.

Bagaimanakah kesudahan kisah kasih Hafiz dan Malisa? Dimadukan dengan Dayang Suhaila atau ada lelaki lain yang akan mengisi kekosongan hati Malisa? Temui pengakhirannya dalam Menunggu hujan. Mesti beli…

Bicara Ummu Ammar :

Buah tangan kedua milik Adileah kali ini tidak mengecewakan UA. Mungkin penulis sangat mengagumi kejadian alam terindah ciptaan yang Esa menyebabkan judulnya menjadi sangat unik. Jika dulu dengan Pada Angin Aku Berpesan, kini Menunggu Hujan.

Jalan cerita yang menarik dan mendebarkan sebenarnya. Percayalah, ini bukan cinta biasa-biasa jalan ceritanya. Cinta yang berputik kala hujan turun. Walaupun saat itu tidaklah seromantik mana. Biasa-biasa sahaja. Kisah cinta yang biasa-biasa yang akhirnya menjadikan mereka luar biasa.

Cinta mana yang tidak diuji. Waima cintakan sang Pencipta hadirnya anasir syaitan datang menghalang, inikan pula cinta sesama manusia. Cinta mereka diuji sebegitu sadis sekali. Kerana maruah, Malisa membawa diri. Kerana setia pada cinta Hafiz rela lakukan apa sahaja.

Terserlah kematangan penulis dalam penyusunan idea dan penceritaan. Kehadiran watak-watak protagonis dalam novel ini memperindahkan lagi kisah kasih antara mereka.

Tahniah Adileah! Teruskan menulis ya.

UA : Cabaran 50 Buku : (14) Ad + Iz


UA : Cabaran 50 Buku : (14) AD + IZ

Judul : AD + IZ

Penulis : Eury Athena

Terbitan: Kaki Novel Enterprise

Halaman: 636 m/s

ISBN : 978-967-5067-49-5

Cetakan ketiga belas – April 2011

Kulit belakang novel :

Kita dirancang untuk bertemu…

Kita ditakdirkan untuk berjumpa…

Namun adakah untuk bersatu… buat selamanya?

Adrianna Mayesa, seorang pekerja butik pakaian yang sanggup berbuat apa sahaja untuk menyara keluarga tirinya walaupun sering ditindas, malah dieksploitasi oleh mereka.

Salah faham yang berlaku ketika dia menghantar pakaian ke rumah pelanggan, membuatkan Adrianna terjebak ke dalam perkahwinan kontrak yang merubah tiga ratus enam puluh darjah paksi hidupnya.

Bermula dari detik itu, dia hidup dalam kemewahan di samping Tengku-Tengku yang bermacam ragam, di samping menjalani kehidupan sebagai ‘isteri’ kepada Tengku Farriel Izumi, seniornya ketika di sekolah yang tidak pernah suka dan senang dengan kehadirannya.

Di saat Adrianna mula selesa dengan kehidupannya, sesuatu yang selama ini dirahsiakan dan langsung tidak diketahuinya muncul… lantas meragut kebahagiaannya.

Aku sanggup mempertaruhkan segala milikku untuk cintamu…

Bicara Ummu Ammar :

Jika ada yang bertanya mengapa saya membeli novel ini, jawapannya ialah saya terkesima melihat bilangan cetakan novel ini. Tiga belas kali cetak. MasyaAllah.. Buku apakah ini? Apakah ilmu yang disampaikan menerusi bingkisan ini sehingga berbelas cetakan untuk sebuah novel? Terlalu istimewakah kandungan buku ini? Soalan-soalan sebegitu menujah akal, dan soalan-soalan tersebut hanya bisa dijawab dengan membeli lantas membaca dan memahami serta menghayati kisah ini.

Dengan lafaz bismillah, saya memulakan penerokaan, penerokaan mencari titik-titik permulaan untuk saya menghayati setiap watak yang ada. Bermula di halaman pertama, diselak ke helaian seterusnya walaupun seawal bab pertama saya dikejutkan dengan perkahwinan segera antara Adrianna Mayesa dan Tengku Farriel Izumi. Bergelar isteri dalam sekelip mata. Semudah itu? Sepengetahuan saya yang cetek ini, proses ke arah gerbang perkahwinan itu amat merumitkan. Dengan borang akuan, kursus kahwin yang wajib dihadiri oleh semua bakal pengantin, ‘HIV Test’ dan sebagainya membuatkan saya keliru sebentar. Tapi tidak mengapa, bacaan tetap diteruskan sehingga ke noktah terakhir.

Adrianna hidup membesar bersama keluarga tirinya. Sedari kecil dia belajar berdikari dek kerana keluarga tiri yang suka membuli dan mempergunakan dirinya. Pasrah dengan keadaan, Adrianna terpaksa bekerja di sebuah butik untuk menyara keluarga tirinya itu.

Pertemuan Adrianna dan Izumi membawa kepada perkahwinan kontrak. Terkejut bukan kepalang apabila menyedari bahawa Izumi adalah bekas seniornya semasa di sekolah. Bekas senior merangkap musuh ketatnya. Tidak diketahui punca sebenar mengapa Izumi terlalu membencinya.

Adat perkahwinan kontrak harus disertai dengan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh kedua-dua belah pihak. Ingin mengetahui syarat-syarat nya? Semuanya termaktub dalam kitab Ad + Iz.

Apa yang kurang dengan novel ini ya? Seperti ada yang tidak kena bagi saya. Maafkan saya wahai penulis. Mungkin saya mengharap impak yang besar daripada novel ini. Mengharapkan sesuatu yang boleh menyentap hati saya atau lebih tepat lagi membawa sesuatu pengajaran untuk saya jadikan panduan hidup.

Namun begitu terdapat juga beberapa nilai murni yang boleh dicontohi. Antaranya ialah sikap Adrianna yang tidak pernah mempunyai sekelumit pun perasaan dendam terhadap keluarga tirinya sedangkan dia teruk dibuli malah dieksploitasi sewenangnya oleh mereka yang tidak berhati perut dan mementingkan diri dan wang.

Walau bagaimanapun, sekalung tahniah diucapkan kepada penulis kerana berjaya menyiapkan sebuah novel dengan 636 halaman. Teruskan menulis ya.

Monday, October 03, 2011

Ceritera hati ~ Sya'ban 1432H ~ (1)

Alhamdulillah wa syukurillah. Terima kasih ya Allah kerana masih memberi peluang untuk hambaMu ini menghirup udara meneruskan kehidupan mencari keredhaan dan cintaMu.

Saat ini aku masih bergelar 'teacher' di sebuah tadika. Bekerja sambil mencari pengalaman dan mengisi masa lapang setelah beberapa bulan grad.

Menjadi seorang guru tadika tidaklah sesenang yang disangka walaupun anak-anak didik hanya sembilan orang. 4 orang daripada kelas 4 dan 6 tahun + seorang lima tahun. Azim, Zahra, Qaisara Ainaa dan Thaqif Harraz, anak-anak paling muda yang masih malu-malu untuk menyatakan pendapat mereka. Semuanya bergantung pada 'apa kata teacher'..

Berlainan pula dengan anak-anak berumur 6 tahun yang merangkap senior. Semuanya mempunyai fiil masing-masing. Fatin dengan kepetahannya, Ainaa dengan rajuk rayunya, Thaqif dengan malu-malunya dan Qayyum pelajar baru yang mempunyai ilmu yang tinggi tetapi tidak mahu berkongsi dengan kawan-kawan.





Sungguh! kerenah mereka seringkali membuatku tersenyum. Mungkin kerana mengingati bagaimana kehidupanku seumur mereka dahulu...? apa yang aku pasti ialah zamanku dengan zaman mereka sangat berbeza.

Bahagia sebenarnya apabila berada disamping anak-anak ahlul fitrah. Tenangnya hati saat bersama mereka. Mungkin kerana mereka masiih suci dan belum dicemari oleh dosa-dosa walau sebesar hama. :)

Jumaat, 23 Julai 2011 Keputusan UPU (Unit Pusat University). Hari yang paling mendebarkan bagiku. Lebih berdebar lagi berbanding saat ku menunggu untuk diumumkan keputusan SPM 6 tahun dahulu. Semuanya tidak kena. Sehinggakan ada kalangan anak-anak itu bertanya 'mama ok x..?' (oh lupa untuk dikhabarkan pada kalian bahawa mereka memanggilku mama!)

Dan...aku hanya mampu tersenyum saat itu. Entah bagaimana rupa senyumanku itu.. Yang pastinya ia tidak semanis biasa. Ketaq lutut.....

12.00 tengahari : Aku menelefon sahabatku syahirah. Dia juga tidak keruan sepertiku. Ya Allah, hanya Kau yang mengerti perasaan kami. Tolongla kami yaAllah. Restuilah setiap pilihan kami. Jadikan pilihan kami itu pilihan yang terbaik untuk masa depan kami.

Untuk menghilangkan rasa debaran yang menghuni segenap hati, aku mengambil keputusan untuk mengetahuinya melalui SMS sahaja... Seminit berlalu..Sepuluh minit terkehadapan.. Masih tiada jawapan balas. Hu.... Ya Allah....

12.32 tengahari : Sebuah mesej diterima..

8*0*0*-06-5**8
Nur Aida bt Mohd Suhaimi
Dukacita dimaklumkan permohonan anda ke IPTA sesi pembelajaran 2011/2012
.
.
.
.
Tidak Berjaya.

Terkedu...Sunyi menyelubungi...Lantas nafas ditarik perlahan2 dan ku lepaskan. Apa rasa? Entah lah... Sedih? mungkin... Kecewa? adala sikit. Sakit? haah..sakit di lubuk hati paling dalam.
Nangis...? Belum...belum nangis lagi..

Walau apa pun... Mabruk 'alaikum ya sodiqi wa sodiqati...

Sofiyah dan Iena : UKM Usuluddin dan Falsafah
Syahirah, Razia, Risa, Anis, Adila, Fiqa dll : UIA

Teruskan perjuangan mencari ilmu dari dasarnya. Kerana dengan ilmu kita kenal denganNya. kerana ilmu kita dekat padaNya. kerana ilmu meninggikan martabat hidup kita insyaAllah.
:)