Friday, April 13, 2012

.:: REVIEW & REDEEM @ JS ADIWARNA (2) ::.


Judul     : Arjuna Mencari Cinta
Penulis : Adzlinz Alexandria
Terbitan: JS Adiwarna Sdn. Bhd.
Halaman: 345 m/s
ISBN : 978-967-0201-20-7
Harga : Sem Malaysia = RM 18.00
            Sabah/Sarawak = RM20.00
Cetakan pertama 2011

Kulit belakang novel :

“Siapa yang suruh kau bercinta? Setahu aku, di sekolah atau university pun pelajar tak belajar tentang cinta.  Kalaulah cinta itu sangat penting tentu kerajaan akan wujudkan mata pelajaran cinta.”
“Tapi Nejad dalam bahaya. Faira betul-betul nak rosakkan dia. Aku tak sanggup nak tengok semua ni.”
“Jadi, kau nak buat apa? Kau nak selamatkan Nejad< Kau ingat kau ‘superwoman’? Jangan buang masalah.”
“Kalau berani bermain dengan api mesti berani juga tanggung sakitnya kena api”
Susahnya untuk jadi dewasa. Macam-macam kena fikir, itu, ini, dan terlebih-lebih lagi masalah cinta. Cinta pula cinta yang bersegi-segi. Siti EZrina suka Nejad, tapi Nejad pula suka Vilma Faira. Antara mereka pula ada Nur Dalilah dan Iqram Muslimin. Lalu siapakah yang menjadi pilihan Sang Arjuna Mencari Cinta itu!
***
Adzlinz Alexandria, penulis lulusan jurusan Syariah Islamiah daripada Universiti al-Azhar, Alexandria ini menulis kerana percaya dengan tulisan, beliau mampu tebarkan rasa kasih dan sayang sesama manusia, supaya dunia akan penuh bercahaya.

Bicara Ummu Ammar :
Novel sulung karya Adlinz Alexandria ini agak unik bagi saya berbanding novel-novel Si Manis 17 yang lain. Melihatkan kepada muka depannya sahaja menimbulkan tanda tanya di benak saya. Arca yang dihiasi seorang arjuna yang sedang memegang busung pemanahnya. Cerita perang kah ini? Atau cereka zaman klasik dahulu kala yang masih menggunakan pemanah sebagai senjata. Halaman pertama diselak, saya disajikan dengan perbincangan kumpulan 5 sahabat – Hakim, Sufi, Nejad, Hafiz dan Idham yang begitu erat sekali, yang bertungkus lumus menyiapkan senjata dan bekalan untuk menempuhi peperiksaan terbesar, SPM.

Saya keliru dalam mewatakkan siapa watak utama, hero mahupun heroin sebenar dalam naskah ini, sama ada saya yang tidak sepenuhnya menjiwai ceritera ini atau… tanpa membuang masa bacaan saya teruskan hingga ke noktah terakhir.

Arjuna mencari cinta berlatar belakangkan Sekolah Menengah Agama Tun Teja yang berkisahkan tentang organisasi Majlis Pimpinan Pelajar dalam bahasa sekarang, pengawas sekolah yang diterajui oleh Nejad dan dibantu oleh Siti Ezrina dan Nur Dalilah sebagai ketua disiplin. Nejad, sebagai ketua pelajar yang digilai dan diminati lalu menjadi buruan sang gadis dek kerana wajahnya yang tampan disamping kecemerlangannya yang hebat dalam pelajaran.

Cinta Monyet hadir jua dalam hati si ketua pelajar. Dia leka, dia alpa, dia hidup dalam dunia perasaannya yang indah-indah saja. Sampai suatu saat, pelajaran diabaikan, tanggungjawabnya sebagai ketua pelajar disisihkan atas alasan kekasihnya lebih penting dari segalanya. Dan Nejad kecundang. Keputusan peperiksaannya jatuh merudum. Namun egonya mengatasi segalanya. Katanya dia bukan gagal kerana cinta. Teguran Ezrina dibiarkan bersama angin yang lalu. Nasihat Dalilah dibiarkan sepi, persahabatannya terputus tanpa ikatan.. hanya kerana Vilma Faira!

Membaca bingkisan ini bisa menjejaskan malah merosakkan reputasi pelajar sekolah agama, tidak mengapa. Kita lihat dari sudut positifnya karya ini ialah ia bisa menjadi pengajaran yang terbaik buat anak-anak remaja yang terlalu ingin merasai dan meng’eksperimen’kan cinta.




Judul     : Wanginya, Bunga Rampai
Penulis : Haswida Abu bakar
Terbitan: JS Adiwarna Sdn. Bhd.
Halaman: 366 m/s
ISBN      : 978-967-0201-39-9
Harga : Sem Malaysia = RM 19.00
                Sabah/Sarawak = RM21.00
Cetakan pertama Januari 2012

Kulit belakang novel :
Seri tu tunangan orang, Arif Azril! Bisik hatinya. Aku tahu. Tapi kalau cinta dan rinduku hanya padanya, bagaimana? Lalu jahatkah aku kalau merampas tunangan orang?

Seharusnya dari dulu lagi dia memasang pagar tebal…. Yang paling kebal supaya kata-kata manis dan pujuk rayu Arif itu tak menyusup masuk, walau senipis udara yang sedang dia sedut ini.

Akan dia buang rasa cinta ke dasar sungai ini. Biar mengalir pergi; dan dia tak mahu tahu ke mana akan berlabuh. Akan disebut nama Haikal setiap kali hatinya menyeru Arif. Akan disanggah baying Arif kalau singgah di ruang mata.

Ah… mengapa mereka tidak member ruang kepada si anak untuk mencari teman hidup sendiri? Dan membiarkan mereka merangka takrif bahagia dalam dalam erti dan cara sendiri. Ada apa pada pangkal nama “syarifah-syed” ini? Apa sebenarnya yang ada dalam molekul darah keturunannya sehingga tidak dibenarkan bercampur dengan darah hamba Allah yang lain?

Bicara Ummu Ammar :

Wanginya, Bunga Rampai… dipersembahkan kepada seluruh warga pembaca dengan semerbak wangian cinta, kasih dan sayang. Mengisahkan Arif Azril, tunangan Nurul yang baru sahaja membawa pulang segulung ijazah dari sebuah university di United Kingdom. Al-kisah… Nurul bukanlah pilihan hati Arif Azril! Semuanya ‘family planning’.

Syarifah Seri Indah.. klasik kan nama ni. Ada “Syarifah” di pangkal namanya. Maka.. secara automatiknya bakal suaminya, merangkap tunangnya akan punyai nama “Syed” di hujung pangkal namanya. Haikal dan Seri dijodohkan atas alasan hanya “Syed” yang layak mengahwini seorang “Syarifah”!

Bagan Kakap – Di sini lah mereka (Arif Azril dan Seri) bertemu. Saat kali pertama terpandang wajah indah Seri, Arif terus terpikat! Terus sahaja melupakan letak duduknya Nurul sebagai bakal isterinya tidak lama lagi. Dan Seri..? Hatinya berdegup kencang. Kata hatinya mengapa rasa yang bertamu dalam jiwanya saat ini tidak ada pada Haikal?

Hati mereka melagukan irama cinta yang serupa. Mereka lupa akan status mereka. Kata Arif : Aku perlu perjuangkan cinta ini. Kata Seri..?

Ah.. payahnya hidup apabila diaturkan keluarga, apatah lagi soal nikah kahwin yang bukan untuk sebulan dua, tetapi untuk seumur hidup. Hakikatnya pilihan keluarga itulah pilihan yang terbaik buat kita. Dan yang paling penting redha Allah bersama dengan redha kedua-dua ibu bapa.

Perjanjian itu menjerat Arif dan Nurul walaupun seringkali dimungkiri oleh mereka-mereka yang berkenaan. Dan mereka ditimpa penyakit yang disangkakan sebagai kafarah kerana mereka telah memungkiri janji apatah lagi janji yang dimeterai itu dilakukan di tampat yang paling suci – Mekah al-Mukarramah. Falsafah janji itu.. harus ditepati! Namun bila berkait dengan soal ajal, maut dan jodoh seorang insan, semuanya sudah tersusun di Lauh Mahfuz sejak dulu lagi tiada siapa yang mampu menolak dan melawan jodoh yang telah ditetapkan Nya.  

Menyelami hati mereka bukanlah semudah yang disangkakan. Ketahui kesudahan ceritera cinta mereka dalam Wanginya, Bunga Rampai. Di dalamnya ada keindahan budi dan kesantunan alam yang digabungkan menjadi sebuah naskah yang begitu indah untuk dimiliki. 





Judul     : Saya bukan Minah Perasan!
Penulis : NASHMIN
Terbitan: JS Adiwarna Sdn. Bhd.
Halaman: 373 m/s
ISBN      : 978-967-0201-44-3
Harga : Sem Malaysia = RM 19.00
                Sabah/Sarawak = RM21.00
Cetakan pertama Mac 2012

Kulit belakang novel :
Wajahnya bertukar rona merah geram, keranaku. Dan keranaku juga tebing matanya seakan-akan hendak pecah dengan air mata. Bukan aku tidak dapat rasa asakan-asakan sebal hati yang sedang menendang jiwanya.

Semuanya keranaku: aku yang lepas mulut; aku yang babas mulut; aku yang celopar mulut. Akulah orangnya.

Huh… aku tidak mengerti bagaimana bermanis bicara dengan wanita yang bukan muhrim. Aku tidak pernah diajar sedikit pun bagaimana mahu menuturkan kata santun dengan wanita ajnabi – yang sah untuk dikahwini – seperti dia: intan payungku; panahan asmaraku; jantung hatiku; buah hatiku.

Dialah ‘Insyirah’ku. ‘Insyirah’ yang maknanya kelapangan; yang maksudnya kegembiraan. Insyirah yang melapangkan dan menggembirakan hatiku.
Mengapa harus ada dia ketika aku sedang mengeraskan dan mengeringkan hati untuk berjuang demi memastikan tanah pusaka ini tidak hilang dirampas kaum kerabat sendiri yang haloba?
***
Tulisan NASHMIN memang terasa santai ketika membacanya, kita terbuai… tak terasa pun sarat serta berat ilmu sosioekonomi dan politik yang NASHMIN sedang apungkan di minda.


Bicara Ummu Ammar :
Buah tangan kedua dari NASHMIN nyata tidak mengecewakan saya. Jika dulu.. saya terhibur dengan Maaf, saya buka bibik!, novel sulungnya, untuk kali ini gelak tawa turut menghiasi diri saya. Dengan gaya bahasa nan indah mempesonakan sentiasa membelai jiwa saya.

Mari berkenalan dengan pelakon-pelakon yang menghiasi pentas Saya Bukan Minah Perasan!

Zahran bin Ahmad – Anak kepada seorang ustaz yang sememangnya mewarisi sifat-sifat yang selayaknya pada seorang ustaz meskipun dia seorang pemegang ijazah Sarjana Muda dari UK dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Dalam tiap tutur bicaranya pasti ada sesuatu mesej yang ingin disampaikan tidak kira sama ada daripada hadith Rasulullah, terjemahan ayat al-Quran mahupun kisah-kisah sahabat juga para tabi’in. Dia segak, bertanggungjawab malah penuh dengan kasih sayang. Cuma.. ada satu yang kurang. Dia seringkali menyalah tafsir dalam menebak hati seorang wanita. Pada keamatannya, dengan berkelakuan kasar, bermulut celupar, berkata sesuka hati sesedap rasanya saja dengan ‘Indah’nya itu, Indah akan merasa selesa dengannya. Maaf ye encik Zahran, awak silap sama sekali!

Insyirah – wajahnya seindah purnama di malam gelita. Dialah ‘Indah’ kepada Zahran. Seorang gadis dari kota metropolitan yang membawa diri ke desa Kodiang membawa hati yang lara. Saat tersedar dari lamunan buaian perasaan. Dia hanya dipermainkan. Hampir 3 tahun menyimpan perasaan pada “Si Putera Kembang Kempis” gelaran yang diberikan pada si lelaki yang telah memainkan hati dan perasaannya. Lelaki yang meletakkan hatinya dijalanan seperti tiada harga. Di daerah Kodiang inilah dia belajar segalanya. Dia berkenalan dengan sahabat kecilnya yang pernah mengatakan padanya tentang azab Allah pada wanita yang mempamerkan mahkota rambutnya kepada umum. Dek kerana malu dengan sahabat kecilnya itu dia mula menjinakkan diri dengan selendang. Alhamdulillah, sungguh niat di hati boleh ditukar atas izin Allah. Dia mula menjadi solehah. Menjadi solehah dengan penuh keikhlasan kerana takutkan Allah dan menginginkan balasan yang baik-baik di akhirat kelak. Dia mula menjadi wanita sejati. Wanita yang sudah tidak kekok lagi untuk berada di dapur. Dia tidak malu untuk belajar akan sesuatu yang baik. Tapi.. dia sangat keras kepala dan sensitive, mudah sentap!

Zahran & Insyirah – pertemuan kali pertama mereka menimbulkan dendam di benak Insyirah. Dia sentap apabila diperli oleh Zahran. Lalu, dia meletakkan kulit pisang di laluan Zahran sehingga membuatkan Zahran jatuh terjelopok. Ada saja yang tidak kena apabila mereka bertemu mata. Ada saja gurauan kasar daripada Zahran untuk si Insyirah dengan harapan apabila dia dapat menimbulkan kemarahan Insyirah dia dapat mendengar suara Insyirah. Dan Insyirah… marah, geram, tension sentiasa bersamanya apabila berkaitan dengan Zahran. Airmata nya? Pernah mengalir kerana Zahran si mulut tiada insuran itu. Pada Zahran.. apabila hati sudah disampuk cinta, marahlah, tengkinglah semuanya pasti akan menjadi indah.
Ketahui kesudahan ‘perang’ antara mereka, salami titik persefahaman antara mereka dalam Saya Bukan Minah Perasan!

Tahniah kepada NASHMIN atas bingkisan yang penuh dengan kasih sayang dan diselitkan jua dengan nasihat-nasihat yang terus menusuk kalbu saya terutamanya. Banyak pengajaran yang bisa dipelajari melalui novel ini. Soal politik juga disisipkan di dalamnya namun kerana olahan yang bijak oleh penulis membuatkan saya sendiri tidak akan soal itu. Ianya tepat buat pembaca yang inginkan kelainan dalam sebuah karya. Inti ceritanya mempunyai segala rencah kehidupan. 

No comments: