Thursday, March 22, 2012

Mereka...


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Ilmuwan Islam; sebuah dokumentari yang mendedahkan kepada kita soal sejarah. Ya bukan sejarah yang biasa-biasa, bukan soal Parameswara dan pembukaan Melaka, bukan juga kisah Laksamana Cheng Ho dan ceritera pelayarannya, tapi dokumentari ini sangat bermakna buat saya. Ini kisah perkembangan peradaban ilmu yang menjadi perintis kepada ilmu-ilmu yang ada pada hari ini.

Bertitik tolak daripada usaha khalifah al-Mansur yang mula membina Bayt al-Hikmah sebagai sebuah pusat ilmu. Segunung rasa kagum saat diperlihatkan akan gigihnya Jabir Ibn Hayyan, seorang pengasas kimia moden yang mendahului zaman yang pada mulanya hanya bersandarkan pada kaedah teori dan anggapan. Apa yang terkesan di hati ini ialah pabila beliau sendiri mengambil keputusan untuk menguji teori Greek sedangkan kita pada zaman sekarang apabila sahaja mendengar akan sesuatu berita tanpa sebarang usul periksa mahupun timbangan terus sahaja menerima sesuatu secara membuta tuli.

Dihidangkan pula dengan kisah Ulugh Beigh, Al-Khawarizmi pengasas angka sifar, dan berakhir dengan Sinan, si arkitek yang penuh dengan seni kreatif. Melihatkan sendiri dengan dua mata yang dhaif ini hasil binaan kubah-kubah masjid di sekitar Istanbul menimbulkan rasa kagum yang tidak terhingga atas kebijaksanaan Sinan dan tentunya kagum dengan keangungan Allah swt. Bukan kubah yang indah di pandangan mata semata-mata yang dicipta untuk binaan sesebuah masjid, Arkitek muda ini menggabungkan segala aspek dan sudut untuk setiap binaan. Sudut pengcahayaan, unsur aliran angin, semuanya digabungkan menjadi satu asas binaan kukuh yang masih teguh berdiri tidak ditelan zaman sehingga ke hari ini.

Hingga ke akhir rancangan saya diselubungi sebak dan sayu. Saya memikirkan akan kehebatan mereka. Insan-insan yang hebat yang diciptakan oleh Dia yang Maha Hebat. Mereka hanya insan biasa kerana itu bukanlah kurniaan mukjizat untuk mereka, namun mereka berjaya mencipta sesuatu ilmu yang masih digunapakai sehingga ke saat ini. Ya..mereka hanya insan biasa yang berusaha secara luar biasa. Mereka Ilmuwan Islam. Orang-orang yang menjadi perintis kepada ilmu sains, matematik dan lainnya. Kami (diriku dan mereka) bernaung di bawah Tuhan yang sama. Jadi..tidak mustahil untuk diriku juga bisa menjadi sehebat mereka.

Benar, mereka tidak setanding dengan Khulafa’ zaman Rasulullah apatah lagi jika dibandingkan dengan kehebatan Rasulullah saw, namun mereka wajar untuk kita kenali kerana kejayaan kita pada hari ini bertitik tolak daripada kejayaan mereka mencipta sesuatu yang berharga pada dunia.