Thursday, April 12, 2012

.:: REVIEW & REDEEM @ JS ADIWARNA ::.


Judul : Dia Yang Kunikahi
Penulis : Iqbal Syarie
Terbitan : Jemari Seni Sdn. Bhd.
Halaman : 422 m/s
ISBN : 978-967-0201-18-4
Cetakan Pertama 2011

Kulit belakang novel :


Mesti gadis itu hebat sampai berjaya menawan hati ayah ibu. Tapi... aku nak 'produk siap'. Jika diberi pilihan, Adam Johari mahu gadis yang sudah ditarbiahkan, sudah alim, dan sudah siap dibimbing. Logiknya, akan memudahkan dan pasti membantunya dalam mewujudkan keluarga dakwah dia impi-impi selama ini.

"Ana impikan produk siap, ustaz. Jika diizinkan untuk memberi contoh, ana maksudkan ustaz sendiri. Ana mahu isteri yang seperti Ustazah Asyiqin. Ustaz faham maksud ana?" Itulah yang dia katakan pada murabbinya.

"Ana faham maksud enta. Enta mahukan isteri yang sudah pun berdiri di medan juang, bukannya sedang baru mahu bersiap. Kan?"

"Baiklah. Jika enta diberi pilihan untuk memiliki sebuah Ferrari mewah dengan sebuah van terpakai, yang mana enta pilih?" tanya Ustaz Mujib.


Johari terdiam sebentar. "Sudah tentulah Ferrari mewah!"


"Sebab?"
     
* * *

Keindahan bahasa bukan terletak pada mahalnya sijil, tapi terletak pada penghayatan dan pertuturan si tulang bangsa. Begitulah juga dengan keindahan garapan cerita. IQBAL SYARIE tidak pernah terlibat dalam mana-mana bidang penulisan. Jauh sekali dengan kursus atau mana-mana bengkel penulisan. Anak muda yang sedang mengikuti kursus penyelenggaraan kapal terbang dengan syarikat penerbangan Malaysian Airlines Systems (MAS) sedang merubah arus – menulis dengan satu misi: DaBOM- Dakwah Buat Orang Muda!

Bicara Ummu Ammar :
Dia Yang Kunikahi (DYK) karya seorang jejaka yang bakal bergelar insinyur ini merupakan sebuah garapan terindah merasakan bahawa mencintai Allah adalah tanggungjawab yang terindah.

Adam Johari – Hero yang dicipta penulis dan mungkin sahaja wujud dalam alam nyata ini merupakan seorang pengurus di syarikat ayahnya. Adam Johari, seorang lelaki yang dahulunya hidup dalam kegelapan, dek kerana suatu kejadian yang berlaku di Yarmouk membuatkan dia mengubah seluruh kehidupannya dengan cahaya Islam. Terima Kasih Allah! Kini… Johari menghabiskan waktu sehari-harinya dengan kesibukannya menguruskan syarikat bapanya sambil terus memantapkan dirinya dengan ilmu agama dan menyampaikan dakwah memantapkan ukhwah melalui usrah.

Aisyah Azizi – sahabat baik Johari sewaktu kecil yang sememangnya hidup jauh dari nilai-nilai Islam. Apatah lagi setelah keluarganya berpindah dan menetap di Australia ditambah pula dengan pemergiannya ke US untuk menyambung pelajarannya. Dia tidak takutkan Tuhan, Apa saja mampu dilakukan. Seusai pembelajarannya, dia terbang pula ke Malaysia memasuki alam pekerjaan. Di situ, ada seorang sahabat yang ingin membawanya mengenal Tuhan. Namun diherdiknya hamba Allah itu. Dia pekakkan telinga pada nasihat dan teguran yang diberikan padanya. Maha Suci Allah. Hidayah itu milik Allah. Dia berubah! Dia tersedar dari kealpaan dan kekhilafan apabila terlihatkan sebuah kemalangan dengan mata kepalanya sendiri.

Nurul Nasuha – Gadis yang dilahirkan dalam keluarga Islami yang di dalam hatinya di semai iman dan rasa cinta pada Tuhan. Dia pernah tersasar dari jalan Allah nan lurus dek kerana terlalu mengikut nafsu remajanya. Antara cinta manusia dan cinta Allah, dia lebih rela hilang akan cinta manusia. Tidak mengapalah, yang penting redha Allah senantiasa mengiringi setiap langkah nya. Doanya buat lelaki bernama Johari tidak pernah putus. Namun masih membataskan hatinya kerana hanya suami yang lebih berhak ke atas hatinya.
Antara Nasuha dan Aisyah..Siapakah yang akan menjadi pilihan Adam Johari? Aisyah yang perlu dibimbing atau Nasuha yang akan mengiringi tiap langkah perjuangan Adam Johari dalam menyeru manusia ke jalan Allah swt..?

Sungguh.. Tidak rugi memiliki naskah ini walaupun pada awalnya saya terlalu takut untuk membaca karya seorang lelaki. Dia Yang Kunikahi laksana sebuah ceritera yang di dalamnya terkandung terjemahan ayat-ayat suci Al-Quran dan juga hadith. Dia Yang Kunikahi men’cerah’kan saya perihal pertunangan menurut Islam yang sebenar. Tahniah kepada penulis. Terima kasih atas perkongsian ilmu yang mendekatkan hati ini denganNya.





Judul     : Langsir Biji Remia
Penulis : Noor Suraya
Terbitan: JS Adiwarna Sdn. Bhd.
Halaman: 263 m/s
ISBN      : 978-967-0201-13-9
Cetakan pertama 2011

Kulit belakang novel :
Duha Hafa anak tunggal Dr. Hud Othman dan Puan Taslima. Dia cantik dengan mata bundar sayu seperti mata unta di padang pasir. Umair terpikat sejak dia masih kecil lagi. 

Sepuluh tahun berlalu dan mereka bertemu semula. Kini Duha Hafa sudah memakai purdah hitam, dan dia bukan lagi gadis periang dan ramah. Kenapa dia berubah? Apa yang tersembunyi di sebalik purdah hitam itu? 

Langsir Biji Remia mengajar kita bersyukur dengan nikmat daripada Dia. 

                                                                             * * * *
Kelebihan karya NOOR SURAYA terletak pada bahasanya yang lembut berserta ceritanya yang memikat. Pemegang ijazah Sarjana Linguistik daripada Universiti Malaya ini menulis dengan hatinya. Disiplin menulisnya diterap sejak menjadi pelajar Komunikasi di Universiti Sains Malaysia lagi. Munsyi Dewan ini pernah memenangi beberapa hadiah penulisan antaranya Hadiah Utama Sayembara Cerpen Esso-Gapena IX (1992) dan Hadiah Penghargaan Menulis Cerita Kanak-kanak Mobil-DBP (1998).

Sinopsis :
Langsir Biji Remia mengisahkan kepada pembaca kisah seorang Duha Hafa, seorang remaja yang dikurniakan wajah nan rupa seindah namanya. Kini, dia menjalani hidup dengan penuh rasa rendah diri yang teramat sangat setelah melalui kejadian ngeri itu. Bukan pintanya untuk dijadikan sebegitu, tidak pernah pun bermimpi untuk melalui pengalaman pahit itu. Tragedi yang meragut separuh dari wajahnya yang suatu waktu dahulu bisa memukau sesiapa saja yang memandang wajahnya tidak kira lelaki mahupun wanita, yang muda mahupun yang telah berusia. Disebabkan rasa rendah diri itu, niqab disarungkan bagi menutup seri yang telah hilang dari wajahnya. Dia rasa rendah diri juga malu untuk berdepan dengan orang sekelilingnya.

Umair, sahabat tingkap sedari kecil. Umair, lelaki yang terlalu inginkan kesempurnaan. Sebab itu dia layak mengambil jurusan perakaunan. Di sudut hatinya yang paling dalam tersimpan rasa ‘cinta’ pada Duha Hafa. Cinta yang telah 10 tahun dia pendam, sejak umurnya 13 tahun dia menyemai rasa cinta buat Duha, jiran sebelah rumah! Katanya cintanya hanya pada sahabat tingkapnya. Cintanya tidak pernah berubah. Titik. Lalu, dek kerana rasa yakin akan cintanya pada Duha, risikan dihantar melalui kak Ain dan kak Hada sebagai orang tengah.

Di Madinah al-Munawarah sewaktu mengerjakan umrah bersama ayahnya Doktor Hud, Duha ‘berkenalan’ dengan Ahmad Muhsin. Ahmad Muhsin - Bakal peguam yang soleh dan tinggi imannya. Dia punya hati yang tulus. Dimulakan dengan sekadar usikan daripada kakak-kakaknya. Lantas Istikharah dilakukan. Memohon petunjuk dan ilham yang benar buat jaminan di masa hadapan. Adakah Duha penyejuk mata penawar hati dalam syurga rumahtangganya kelak.

Dan…Umair kononnya dengan cinta agungnya ataupun Muhsin yang merisik Duha atas permintaan ayahnya yang menjadi pilihan Duha Hafa?

Bicara Ummu Ammar :
Kak Noor Suraya menulis lagi. Buah tangan kali ini diberi tajuk Langsir Biji Remia. Sesuai dengan temanya ‘Si Manis 17’. Dengan bahasa yang mudah dan jalan cerita yang ringkas dan ringan, tidak terlalu kompleks.
Penulis berjaya menghidupkan setiap watak dalam pentas Langsir Biji Remia. Duha dengan rasa rendah dirinya apabila keindahan wajahnya di saluti parut-parut panasnya api. Umair dengan ‘kesempurnaannya’. Ahmad Muhsin dengan rasa kehambaan yang amat tinggi pada Sang Pencipta.

Apa yang dapat disimpulkan melalui Langsir Biji Remia iala hakikat cinta itu terlalu abstrak untuk dirungkaikan. Cinta itu kurniaan Tuhan menerangi sanubari insan. Bagaimana Allah menitipkan rasa cinta pada Duha Hafa dalam hati Ahmad Muhsin sehinggakan wajah itu terlalu indah di pandangan mata Muhsin tetapi tidak Umair.

Apa yang membuatkan bingkisan ini lebih istimewa ialah bukan sahaja kisah cinta yang menjadi persoalan utamanya, tetapi soal sastera dan bahasa melayu yang diperbahaskan secara jelas berkenaan dengan pandangan masyarakat terhadapnya. Turut diselitkan dalam naskah ini.. Doa Dhuha yang begitu indah yang sepatutnya dijadikan doa harian. Terima Kasih dan Tahniah buat Kak Noor Suraya.





Judul     : Maaf, saya bukan Bibik!
Penulis : Nashmin
Terbitan: JS Adiwarna Sdn. Bhd.
Halaman: 340 m/s
ISBN      : 978-967-0201-10-8
Cetakan pertama Mei 2011

Kulit belakang novel :
Bahasa Melayu SPM tu ‘kacang’ baginya. Lalu dia luangkan masa baca majalah hiburan saja. Hasil: Bahasa Melayu – 9G. Dia nekad mahu ambil semula SPM, tapi dia kesian pada ibu yang sudah jadi balu. Mereka sekeluarga bukan orang berada, tinggal pun di rumah pangsa DBKL saja.
Dia perlu cari duit sendiri!

Peluang terbuka luas apabila ada kerja kosong jadi orang gaji di Selama, Perak. Tapi mampukah dia gadis Kuala Lumpur hidup jauh di pedalaman? Lebih-lebih lagi, anak lelaki majikan yang sudah bertunang itu sangat benci padanya.

Bibikkkk!! Siang ikan bersih-bersih ya!!

Kerenah Zaki yang memang seperti mahu menghalaunya itu buat Suhana jadi geram bercampur sedih. Perlu terus bertahan? Atau dia mengaku kalah sahaja dan katakan pada Zaki: Maaf, Saya Bukan Bibik!

Ini memang novel pertama NASHMIN. Namun karyanya sudah memperlihatkan kematangan; dia menulis daripada hati yang jujur lagi polos. Pemilik ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu ini garap bahasa Melayunya dengan baik sekali, menarik dan bersahaja. Prinsipnya, ‘segala usaha dan kerja yang dilakukan kerana Allah maka akan dinilai sebagai ibadah’.

Bicara Ummu Ammar :
Novel sulung karya Nashmin Jemari Adiwarna ini sangat mencuit hati dan emosi saya. Maaf, saya bukan bibik! berkisarkan kisah seorang gadis polos bernama Suhana yang hidup dalam golongan sederhana yang menetap di Kuala Lumpur. Seorang pelajar yang mengambil remeh dengan kertas Bahasa Melayu SPMnya. Walaupun pada hakikatnya, untuk gagal dalam kertas tersebut sangatlah tidak logik dek akal. Tidak mengapalah.. Mungkin Nashmin ingin menyatakan pada seluruh pembaca bahawa kejayaan itu adalah milik orang yang berusaha dan keputusan peperiksaan itu sudah ditakdirkan Allah selaras dengan usaha kita.
Penulis berjaya mengangkat nilai-nilai murni yang terdapat di dalam diri seorang Suhana. Seorang anak yang bertanggungjawab, yang mementingkan keluarganya, yang tidak ingin menyusahkan ibunya, lalu dia berkeputusan untuk menjadi orang gaji asalkan gaji yang diperolehinya dari sumber yang halal dan di redhai Allah swt.

Walaupun Suhana berasal dari Bandar, namun di dalam hatinya punya iman, ada peraturan yang perlu dipatuhi agamanya, ada larangan yang perlu dijauhinya. Hidupnya tertegak oleh al-Qur’an dan Sunnah Rasul. Dia syadid dalam hal-hal berkaitan ikhtilat (pergaulan). Kerana Allah melarang persentuhan antara lelaki dan perempuan ajnabi. Dan… Suhana tiada pilihan.. Dia perlu bertegas! Dia punya prinsip.

Suhana.. SPM nya perlu diulang, jika tidak dia tidak akan ke mana-mana. Dia belajar dari kesilapan.  Sungguh, usaha itu tangga kejayaan. Matlamat hidup telah di buat hanya tinggal untuk mendaki dan melangkah untuk merealisasikan matlamat tersebut. Itulah warna-warni kehidupan manusia, dalam cahaya mahupun kegelapan, kita punya pilihan sama ada untuk bangun dan terus berjuang atau membiarkan anasir-anasir negative terus bermaharajalela dalam hati untuk menyekat jalan menuju kejayaan dan kebahagiaan. 

No comments: