Friday, October 14, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (15) Menunggu Hujan

UA : Cabaran 50 Buku : (15) Menuggu Hujan

Judul : Menuggu Hujan

Penulis : Adileah

Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.

Halaman: 447 m/s

ISBN : 978-967-5118-56-2

Cetakan pertama Mac 2011

Kulit belakang novel :

Kata dia, “Tak boleh ke panggil Lis? Sedap apa nama tu.”

Jawabnya pula, “Tak boleh. Tak suka. Macam ‘list’ barang apabila awak panggil saya Lis.”

Jawab dia kembali, “Saya panggil awak ‘dear’ atau sayang boleh tak?”

Dia tak mahu layan. Hatinya sudah ada irama yang sedang bergetar. Mana boleh ditunjukkan di hadapannya. Rahsia hati mesti di simpan diam-diam.

Itu cerita silamnya. Cerita sekarang sudah berbeza.

Jauh merentasi benua, masalah tidak juga selesai. Lama dia menyepi, rindu itu tidak juga padam. Diam dia tidak memanggil namanya, rasa itu tetap terpahat di situ. Semua itu tidak pernah pergi jauh darinya

Dunia bagaikan terhenti berputar apabila dua jiwa yang terpisah bertemu kembali dalam satu rasa yang sama. Rupanya... rasa yang dia cuba nafikan itu masih ada dan tidak pernah padam. Dia sudah letih untuk berlari.

Satu hari si dia datang padanya dan kata si dia pada saat itu, berilah rasa itu kepadanya biar semua kesakitan hilang. Bolehkah begitu?

Sinopsis :

Ini kisah hati seorang wanita cekal diberi nama Malisa. Malisa merupakan seorang graduan dari sebuah university tempatan. Tetapi dek kerana persaingan untuk memasuki alam pekerjaan terlalu sengit membuatkan Malisa mengambil keputusan untuk bekerja sementara sebagai pembantu di rumah Cik Puan Juita yang kaya raya dikampungnya.

Menjadi pembantu kepada Cik Puan bukanlah sesuatu yang mudah. Cik Puan lumpuh. Dan Malisa, bukan bekerja sekadar untuk mengisi masa lapangnya sementara menunggu kerja tetap. Dia mempunyai misi. Misi untuk merubah kehidupan majikannya itu yang terlalu pasif kepada seorang yang lebih aktif kerana pada pengamatannya, Cik Puan bukanlah lumpuh keseluruhan tubuh tetapi hanya sebahagian sahaja. Maknanya, Cik Puan masih mempunyai peratus yang tinggi untuk pulih seperti sedia kala.

Di situ bermulalah perkenalannya dengan sang jejaka berkulit putih, Hafiz yang juga merangkap cucu kepada Cik Puan. Detik waktu berlalu tanpa henti menimbulkan bibit-bibit cinta berbunga sayang antara keduanya. Walhal ketika itu Hafiz bergelar tunangan orang dalam masa yang sama baru sahaja putus kasih dengan kekasihnya.

Bagaimanakah kesudahan kisah kasih Hafiz dan Malisa? Dimadukan dengan Dayang Suhaila atau ada lelaki lain yang akan mengisi kekosongan hati Malisa? Temui pengakhirannya dalam Menunggu hujan. Mesti beli…

Bicara Ummu Ammar :

Buah tangan kedua milik Adileah kali ini tidak mengecewakan UA. Mungkin penulis sangat mengagumi kejadian alam terindah ciptaan yang Esa menyebabkan judulnya menjadi sangat unik. Jika dulu dengan Pada Angin Aku Berpesan, kini Menunggu Hujan.

Jalan cerita yang menarik dan mendebarkan sebenarnya. Percayalah, ini bukan cinta biasa-biasa jalan ceritanya. Cinta yang berputik kala hujan turun. Walaupun saat itu tidaklah seromantik mana. Biasa-biasa sahaja. Kisah cinta yang biasa-biasa yang akhirnya menjadikan mereka luar biasa.

Cinta mana yang tidak diuji. Waima cintakan sang Pencipta hadirnya anasir syaitan datang menghalang, inikan pula cinta sesama manusia. Cinta mereka diuji sebegitu sadis sekali. Kerana maruah, Malisa membawa diri. Kerana setia pada cinta Hafiz rela lakukan apa sahaja.

Terserlah kematangan penulis dalam penyusunan idea dan penceritaan. Kehadiran watak-watak protagonis dalam novel ini memperindahkan lagi kisah kasih antara mereka.

Tahniah Adileah! Teruskan menulis ya.

UA : Cabaran 50 Buku : (14) Ad + Iz


UA : Cabaran 50 Buku : (14) AD + IZ

Judul : AD + IZ

Penulis : Eury Athena

Terbitan: Kaki Novel Enterprise

Halaman: 636 m/s

ISBN : 978-967-5067-49-5

Cetakan ketiga belas – April 2011

Kulit belakang novel :

Kita dirancang untuk bertemu…

Kita ditakdirkan untuk berjumpa…

Namun adakah untuk bersatu… buat selamanya?

Adrianna Mayesa, seorang pekerja butik pakaian yang sanggup berbuat apa sahaja untuk menyara keluarga tirinya walaupun sering ditindas, malah dieksploitasi oleh mereka.

Salah faham yang berlaku ketika dia menghantar pakaian ke rumah pelanggan, membuatkan Adrianna terjebak ke dalam perkahwinan kontrak yang merubah tiga ratus enam puluh darjah paksi hidupnya.

Bermula dari detik itu, dia hidup dalam kemewahan di samping Tengku-Tengku yang bermacam ragam, di samping menjalani kehidupan sebagai ‘isteri’ kepada Tengku Farriel Izumi, seniornya ketika di sekolah yang tidak pernah suka dan senang dengan kehadirannya.

Di saat Adrianna mula selesa dengan kehidupannya, sesuatu yang selama ini dirahsiakan dan langsung tidak diketahuinya muncul… lantas meragut kebahagiaannya.

Aku sanggup mempertaruhkan segala milikku untuk cintamu…

Bicara Ummu Ammar :

Jika ada yang bertanya mengapa saya membeli novel ini, jawapannya ialah saya terkesima melihat bilangan cetakan novel ini. Tiga belas kali cetak. MasyaAllah.. Buku apakah ini? Apakah ilmu yang disampaikan menerusi bingkisan ini sehingga berbelas cetakan untuk sebuah novel? Terlalu istimewakah kandungan buku ini? Soalan-soalan sebegitu menujah akal, dan soalan-soalan tersebut hanya bisa dijawab dengan membeli lantas membaca dan memahami serta menghayati kisah ini.

Dengan lafaz bismillah, saya memulakan penerokaan, penerokaan mencari titik-titik permulaan untuk saya menghayati setiap watak yang ada. Bermula di halaman pertama, diselak ke helaian seterusnya walaupun seawal bab pertama saya dikejutkan dengan perkahwinan segera antara Adrianna Mayesa dan Tengku Farriel Izumi. Bergelar isteri dalam sekelip mata. Semudah itu? Sepengetahuan saya yang cetek ini, proses ke arah gerbang perkahwinan itu amat merumitkan. Dengan borang akuan, kursus kahwin yang wajib dihadiri oleh semua bakal pengantin, ‘HIV Test’ dan sebagainya membuatkan saya keliru sebentar. Tapi tidak mengapa, bacaan tetap diteruskan sehingga ke noktah terakhir.

Adrianna hidup membesar bersama keluarga tirinya. Sedari kecil dia belajar berdikari dek kerana keluarga tiri yang suka membuli dan mempergunakan dirinya. Pasrah dengan keadaan, Adrianna terpaksa bekerja di sebuah butik untuk menyara keluarga tirinya itu.

Pertemuan Adrianna dan Izumi membawa kepada perkahwinan kontrak. Terkejut bukan kepalang apabila menyedari bahawa Izumi adalah bekas seniornya semasa di sekolah. Bekas senior merangkap musuh ketatnya. Tidak diketahui punca sebenar mengapa Izumi terlalu membencinya.

Adat perkahwinan kontrak harus disertai dengan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh kedua-dua belah pihak. Ingin mengetahui syarat-syarat nya? Semuanya termaktub dalam kitab Ad + Iz.

Apa yang kurang dengan novel ini ya? Seperti ada yang tidak kena bagi saya. Maafkan saya wahai penulis. Mungkin saya mengharap impak yang besar daripada novel ini. Mengharapkan sesuatu yang boleh menyentap hati saya atau lebih tepat lagi membawa sesuatu pengajaran untuk saya jadikan panduan hidup.

Namun begitu terdapat juga beberapa nilai murni yang boleh dicontohi. Antaranya ialah sikap Adrianna yang tidak pernah mempunyai sekelumit pun perasaan dendam terhadap keluarga tirinya sedangkan dia teruk dibuli malah dieksploitasi sewenangnya oleh mereka yang tidak berhati perut dan mementingkan diri dan wang.

Walau bagaimanapun, sekalung tahniah diucapkan kepada penulis kerana berjaya menyiapkan sebuah novel dengan 636 halaman. Teruskan menulis ya.

Monday, October 03, 2011

Ceritera hati ~ Sya'ban 1432H ~ (1)

Alhamdulillah wa syukurillah. Terima kasih ya Allah kerana masih memberi peluang untuk hambaMu ini menghirup udara meneruskan kehidupan mencari keredhaan dan cintaMu.

Saat ini aku masih bergelar 'teacher' di sebuah tadika. Bekerja sambil mencari pengalaman dan mengisi masa lapang setelah beberapa bulan grad.

Menjadi seorang guru tadika tidaklah sesenang yang disangka walaupun anak-anak didik hanya sembilan orang. 4 orang daripada kelas 4 dan 6 tahun + seorang lima tahun. Azim, Zahra, Qaisara Ainaa dan Thaqif Harraz, anak-anak paling muda yang masih malu-malu untuk menyatakan pendapat mereka. Semuanya bergantung pada 'apa kata teacher'..

Berlainan pula dengan anak-anak berumur 6 tahun yang merangkap senior. Semuanya mempunyai fiil masing-masing. Fatin dengan kepetahannya, Ainaa dengan rajuk rayunya, Thaqif dengan malu-malunya dan Qayyum pelajar baru yang mempunyai ilmu yang tinggi tetapi tidak mahu berkongsi dengan kawan-kawan.





Sungguh! kerenah mereka seringkali membuatku tersenyum. Mungkin kerana mengingati bagaimana kehidupanku seumur mereka dahulu...? apa yang aku pasti ialah zamanku dengan zaman mereka sangat berbeza.

Bahagia sebenarnya apabila berada disamping anak-anak ahlul fitrah. Tenangnya hati saat bersama mereka. Mungkin kerana mereka masiih suci dan belum dicemari oleh dosa-dosa walau sebesar hama. :)

Jumaat, 23 Julai 2011 Keputusan UPU (Unit Pusat University). Hari yang paling mendebarkan bagiku. Lebih berdebar lagi berbanding saat ku menunggu untuk diumumkan keputusan SPM 6 tahun dahulu. Semuanya tidak kena. Sehinggakan ada kalangan anak-anak itu bertanya 'mama ok x..?' (oh lupa untuk dikhabarkan pada kalian bahawa mereka memanggilku mama!)

Dan...aku hanya mampu tersenyum saat itu. Entah bagaimana rupa senyumanku itu.. Yang pastinya ia tidak semanis biasa. Ketaq lutut.....

12.00 tengahari : Aku menelefon sahabatku syahirah. Dia juga tidak keruan sepertiku. Ya Allah, hanya Kau yang mengerti perasaan kami. Tolongla kami yaAllah. Restuilah setiap pilihan kami. Jadikan pilihan kami itu pilihan yang terbaik untuk masa depan kami.

Untuk menghilangkan rasa debaran yang menghuni segenap hati, aku mengambil keputusan untuk mengetahuinya melalui SMS sahaja... Seminit berlalu..Sepuluh minit terkehadapan.. Masih tiada jawapan balas. Hu.... Ya Allah....

12.32 tengahari : Sebuah mesej diterima..

8*0*0*-06-5**8
Nur Aida bt Mohd Suhaimi
Dukacita dimaklumkan permohonan anda ke IPTA sesi pembelajaran 2011/2012
.
.
.
.
Tidak Berjaya.

Terkedu...Sunyi menyelubungi...Lantas nafas ditarik perlahan2 dan ku lepaskan. Apa rasa? Entah lah... Sedih? mungkin... Kecewa? adala sikit. Sakit? haah..sakit di lubuk hati paling dalam.
Nangis...? Belum...belum nangis lagi..

Walau apa pun... Mabruk 'alaikum ya sodiqi wa sodiqati...

Sofiyah dan Iena : UKM Usuluddin dan Falsafah
Syahirah, Razia, Risa, Anis, Adila, Fiqa dll : UIA

Teruskan perjuangan mencari ilmu dari dasarnya. Kerana dengan ilmu kita kenal denganNya. kerana ilmu kita dekat padaNya. kerana ilmu meninggikan martabat hidup kita insyaAllah.
:)