Saturday, December 12, 2009

:: Hakikat Doa ::

Doa merupakan tanda pergantungan, pengharapan, rintihan dan permohonan seorang hamba kepada Allah swt. Firman Allah swt dalam surah Ghafir ayat ke-60 :

وَقَالَ رَبُّڪُمُ ٱدۡعُونِىٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ إِنَّ
ٱلَّذِينَ يَسۡتَكۡبِرُونَ عَنۡ عِبَادَتِى سَيَدۡخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ


Maksudnya : "Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina."


Allah swt berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 186 :

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ‌ۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ‌ۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِى وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِى
لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ


Maksudnya : "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka sentiasa dalam kebenaran."


FirmanNya lagi menerusi surah al-A'raf dalam ayat ke-180 :

وَلِلَّهِ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ فَٱدۡعُوهُ بِہَا‌ۖ وَذَرُواْ ٱلَّذِينَ يُلۡحِدُونَ فِىٓ أَسۡمَـٰٓٮِٕهِۦ‌ۚ سَيُجۡزَوۡنَ مَا كَانُواْ
يَعۡمَلُونَ


yang bermaksud : "Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan."


Rasulullah bersabda yang bermaksud : "Doa itu adalah ibadah, Allah swt berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan ku perkenankan untuk kalian." (Riwayat Abu Daud no.1479, al-Tirmizi no. 3247, Sahih al-Jami' al-Saghir no. 3407.)


Menurut Nabi saw, Allah swt berasa malu jika menolak permintaan hambaNya yang memohon kepadaNya sebagaimana sabda nabi yang bermaksud : "Sesungguhnya Tuhan kamu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi ini sangat pemalu lagi mulia. Dia malu terhadap hambaNya yang mengangkat tangan berdoa, tiba-tiba tidak diberiNya permintaan itu." (Riwayat Abu Daud no 1488 dan al-Tirmizi no. 3556. Ibnu Hajar mengatakan sanadnya adalah jayyid, Sahih al-Tirmizi no. 179)


Kesimpulannya.. doa merupakan ibadah. Maka dengan itu berdoalah wahai sahabat-sahabatku, kerana Dia Maha Mendengar, kerana Dia akan mendengar segala rintihan dan keluh kesahmu dalam apa jua keadaan. Yang paling penting, jauhkan diri kita dari berprasangka buruk dengan Allah.. Lebih Kasih SayangNya kepada kita, lebih besar ujian yang ditimpa ke atas kita.



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Wahai sahabat-sahabat serta adik-adikku yang dikasihi kerana Allah, jika semalam jalan yang kita tempuh terasa sukar, namun kita berjaya melaluinya dengan pertolongan dariNya, dan jika jalan hari ini terlalu sukar ditempuh, yakinlah Allah bersama-sama kita ketika ini. Jika esok kita lihat lorong-lorong jalan penuh duri, percayalah Allah dan pertolonganNya juga akan bersama-sama dengan kita esok. Jangan sekali-kali kita berputus asa dengan rahmat Allah..

No comments: