Thursday, August 18, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (2) Baju Melayu Hijau Serindit


UA : Cabaran 50 Buku : (2) Baju Melayu Hijau Serindit

Judul : Baju Melayu Hijau Serindit

Penulis : Syud

Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.

Halaman: 430 m/s

ISBN : 978-967-5118-59-3

Cetakan pertama Mei 2011

Kulit belakang novel :

Dia ibarat seperti orang yang sedang berjalan di lantai dapur selepas ada pinggan pecah... harus berhati-hati dia, kerana kaca yang tidak nampak dek mata itu boleh melukakan kakinya.

~ I ~

Hidup seorang Wardah senang sahaja. Dia bersyukur kerana dia tidak pernah menghadapi situasi yang sukar (setakat inilah).
Hidupnya menjadi drama apabila mama mula campur tangan. Dia tidak mahu jadi anak tak dengar kata. Jadi harus bagaimana dia, untuk menghalang rancangan ‘mencari jodoh’ mama itu?

“Mama, janganlah libatkan Ilham. Biarlah lelaki tu nak pilih suka siapa pun.”

~II~

Dia bukanlah lelaki yang mudah jatuh cinta; namun tak ramai yang percaya akan hal itu. Dulu, hatinya juga pernah ‘hilang’ daripada dirinya. Sekali. Tak ramai yang tahu tentang itu!

“Apa yang I dapat kalau I tolong you?”
“You dapat jadi boyfriend I.”


Tapi apabila dia betul-betul jatuh hati pada seseorang, orang itu pun tak nak percaya.
Sedihlah
L

Sinopsis:

Baju Melayu Hijau Serindit mengisahkan kehidupan seorang Wardah. Wanita berkerjaya yang tinggal bersama keluarga di Kuala Lumpur tetapi masih belum berpunya kerana tidak ramai lelaki yang dikenali melainkan ayahnya dan juga Ilham yang merupakan perkerja kepada ayahnya. Wardah mula kalut apabila ibunya ingin menjodohkannya dengan Ilham. Kalut yang bukan dibuat-buat. Wardah menolak Ilham bukan kerana tidak suka akan Ilham tetapi apabila mengetahui yang Ilham baru sahaja putus tunang, Wardah tidak menyokong malah menolak bulat-bulat cadangan ibunya itu.Wardah sering ditemukan dengan Pacai atau nama sebenarnya Firas secara kebetulan. Pertemuan pertama antara mereka sewaktu Wardah ke kedai buku di Ampang Park untuk membeli novel Nyanyian Tanjung Sepi bagi menggantikan novel adiknya yang telah Wardah jatuhkan ke dalam lopak air. Suatu kebetulan, apabila Firas juga turut membeli novel yang sama. Bukan sebuah tetapi dua buah novel dengan tajuk yang sama. Dan.. itu adalah stok terakhir di kedai buku tersebut membuatkan darah Wardah menyirap kerana novel tersebut tidak lagi diulang cetak. Bermula dari saat itu Wardah menggelarkan Firas dengan nama “Shrek” kerana pada waktu itu Firas memakai sepasang baju melayu berwarna hijau serindit.

Di pihak Firas pula, menggelarkan Wardah dengan panggilan “Dorothy” satu watak dalam Wizard of Oz kerana kasut yang dipakai Wardah berwarna merah. Kebetulan demi kebetulan menemukan mereka berdua dan akhirnya Firas memberanikan diri untuk berdepan dengan Wardah untuk perkenalan yang lebih jauh lagi.

Wardah yang masih pening dengan sikap ibunya yang ingin menjodohkannya dengan Ilham mula susah hati. Tidak semena-mena, hadir di benaknya suatu idea yang bernas. Iaitu meminta jasa baik Firas untuk berlakon sebagai kekasih hatinya. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Firas menerima saja kerana merasakan inilah peluang untuknya mengenali Wardah seterusnya menyunting Wardah sebagai isterinya yang sah.

Ujian demi rintangan telah dilalui oleh Dorothy dan Shrek. Mereka berselisih pendapat dan pemahaman dan akhirnya apabila berjauhan, baru tersedar bahawa cinta telah mengikat hati-hati mereka.

Bicara Ummu Ammar :

Buah tangan Syud kali ini lebih “bernyawa” berbanding bingkisan yang sebelumnya. “Cover”nya yang cukup indah telah mencuit hati ku untuk terus memiliki novel ini. Heroinnya, Wardah. Seorang gadis yang tidak mempunyai ramai kenalan lelaki. Gadis ini sangat berhati-hati dalam mencorakkan skrip hidupnya. Sahabat karibnya, Nik adalah tempat untuk meluah segala rasa dan masalah. Watak Nik sebagai sahabat, teman, dan taulan disusun dengan cantik sekali oleh penulis. Dan Firas, hero di dalam novel muncul dalam kamus hidup seorang Wardah secara kebetulan.

Kebetulan demi kebetulan menemukan mereka. Benarkah ia suatu kebetulan? Atau suratan Ilahi yang sememangnya ingin disatukan hati-hati antara mereka. Seringkali kita keliru dengan perasaan yang dihembuskan olehNya ke dalam hati kita. Cinta kah itu..? Atau hanya satu perasaan suka? Mahupun rasa kagum yang tinggi pada si dia. Dan acapkali juga kita salah tafsir akan perasaan-perasaan tersebut.

Saat berjauhan, terbit rasa kesepian dan kesunyian. Itulah yang Wardah rasai tatkala dia dan Firas berjauhan dan tidak berhubung antara satu sama lain. Ketika berjauhan baru kita tahu bertapa berertinya seseorang itu buat diri kita.

Berbanding novel-novel sebelum ini, Syud menulis dengan gaya bahasa yang santai tetapi indah. Saya sarankan kepada peminat Syud untuk membeli karya ini kerana di dalam novel ini juga ada kesinambungan kisah cinta Aulia dan Adil daripada novel Untuk Awak Teja Aulia. Selami jiwa Firas yang tidak mudah untuk jatuh cinta tetapi kesetiaannya tiada tandingan dan berkongsi kisah hati seorang Wardah yang sangat berhati-hati dalam mencorakkan kanvas kehidupannya.

No comments: