Wednesday, August 24, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (4) Maaf, Saya bukan Bibik!


UA : Cabaran 50 Buku : (4) Maaf, saya bukan Bibik!

Judul : Maaf, saya bukan Bibik!

Penulis : Nashmin

Terbitan: JS Adiwarna Sdn. Bhd.

Halaman: 340 m/s

ISBN : 978-967-0201-10-8

Cetakan pertama Mei 2011

Kulit belakang novel :

Bahasa Melayu SPM tu ‘kacang’ baginya. Lalu dia luangkan masa baca majalah hiburan saja. Hasil: Bahasa Melayu – 9G. Dia nekad mahu ambil semula SPM, tapi dia kesian pada ibu yang sudah jadi balu. Mereka sekeluarga bukan orang berada, tinggal pun di rumah pangsa DBKL saja.

Dia perlu cari duit sendiri!

Peluang terbuka luas apabila ada kerja kosong jadi orang gaji di Selama, Perak. Tapi mampukah dia gadis Kuala Lumpur hidup jauh di pedalaman? Lebih-lebih lagi, anak lelaki majikan yang sudah bertunang itu sangat benci padanya.

Bibikkkk!! Siang ikan bersih-bersih ya!!

Kerenah Zaki yang memang seperti mahu menghalaunya itu buat Suhana jadi geram bercampur sedih. Perlu terus bertahan? Atau dia mengaku kalah sahaja dan katakan pada Zaki: Maaf, Saya Bukan Bibik!

Ini memang novel pertama NASHMIN. Namun karyanya sudah memperlihatkan kematangan; dia menulis daripada hati yang jujur lagi polos. Pemilik ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu ini garap bahasa Melayunya dengan baik sekali, menarik dan bersahaja. Prinsipnya, ‘segala usaha dan kerja yang dilakukan kerana Allah maka akan dinilai sebagai ibadah’.

Bicara Ummu Ammar :

Novel sulung Nashmin bersama Jemari Seni ini sangat mencuit hati. Maaf, saya bukan bibik! Berkisarkan kisah seorang gadis polos bernama Suhana yang hidup dalam golongan sederhana yang menetap di Kuala Lumpur. Seorang pelajar yang mengambil remeh dengan kertas Bahasa Melayu SPMnya. Menganggap yang dia bakal Berjaya dengan cemerlang dalam kertas Bahasa Melayu tanpa perlu mengulang kaji pelajaran tersebut. Hakikatnya kertas Bahasa Melayu tidak semudah yang disangka. Kerana Bahasa Melayu itu ditinggikan tinggi dengan nilai gaya bahasa yang sangat indah dan melankolik, bukan seperti yang tercatat di dalam majalah hiburan yang biasanya menggunakan bahasa yang lebih santai dan sempoi.

Novel Si Manis 17 ini mengangkat nilai-nilai murni yang terdapat di dalam diri Suhana. Seorang anak yang bertanggungjawab, yang mementingkan keluarganya. Tidak mahu menyusahkan ibunya, Su tidak kisah untuk menjadi orang gaji, asalkan pendapatan yang dia dapat adalah halal kerana wang itu ingin digunakan untuk mengulang semula peperiksaan SPM.

Suka untuk saya tegaskan disini bahawa penulis telah berjaya meletakkan watak utama sebagai seorang yang tegas dan berpegang teguh dengan prinsip yang ada dalam diri. Prinsip hidup Suhana berlandaskan Quran dan Sunnah. Haram untuk berdua-duaan antara lelaki dan perempuan. Tidak perlu untuk mematuhi arahan majikan andainya ia mengundang kemarahan Allah semata.

Belajar dari kesilapan. Usaha tangga kejayaan. “Never say No, if Allah says yes!” Itulah warna-warni kehidupan manusia, dalam cahaya mahupun kegelapan, kita punya pilihan sama ada untuk bangun dan terus berjuang atau membiarkan anasir-anasir negative terus bermaharajalela dalam hati untuk menyekat jalan menuju kejayaan dan kebahagiaan.

No comments: