Thursday, September 22, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (10) Sepupuku Suamiku


UA : Cabaran 50 Buku : (10) Sepupuku Suamiku

Judul : Sepupuku Suamiku

Penulis : Lynn Allyna

Terbitan: Kaki Novel Enterprise

Halaman: 542 m/s

ISBN : 978-967-5067-38-9

Cetakan pertama Mei 2011

Kulit belakang novel :

Siapa kata kahwin dengan sepupu sendiri tak boleh bahagia? Kalau dah cinta, anjing dan kucing pun boleh hidup bersama. Nana dan Hisyam telah membuktikannya. Walaupun perkahwinan mereka hanya kerana ingin menjaga maruah keluarga, tetapi mereka masih mampu hidup bahagia. Cinta yang disemai semakin hari semakin segar mewangi.

Tetapi entah di mana silapnya, badai tak henti-henti melanda. Satu persatu dugaan mendatang hingga merobek tangkai hati mereka.

Si kekasih dating menuntut janji. Nana tak dapat bertahan. Andai perpisahan sudah ditakdirkan buat mereka, dia pasrah.

Bagi Hisyam pula, andai bercerai badan sekalipun cintanya tetap utuh buat Nana. Tiada cinta lain baginya. Hani hanya perosak. Johan hanya dating mengganggu. Tiada goyah walau sedikit pun cintanya buat si isteri.

Ketaasuban cinta Hani pada Hisyam tak dapat disangkal. Pelbagai cara dilakukan agar Hisyam kembali semula padanya. Makin kuat Hisyam menolak, makin kuat dia menarik. Demi cinta, andai terkorban diri sekalipun dia sanggup.

Johan juga begitu. Dalam hatinya hanya ada Nana. Selagi Nana tidak menjadi miliknya, selagi itulah dia akan terus berusaha.

“Abang, hati Nana hanya ada satu. Sekali Nana jatuh cinta, untuk selamanya hati Nana kat orang tu. Nana harap abang mengerti.”

Mampukah mereka menepis segala rintangan yang mendatang? Mampukah mereka membina impian seperti yang diangankan? Berpeganglah pada janji Tuhan dan percayalah pada kuasa cinta.

Andai kau tercipta untukku, kita tetap akan bersatu walau terpisah seribu tahun.

Sinopsis:

Novel ini dibaca ketika saya masih dalam “mood” raya. Oh, tidaklah. Hari Raya ketiga sebenarnya barulah novel ini berjaya ditamatkan dengan jayanya. Sepupuku Suamiku judul diberi. Kata hati saya saat melihat judul buku ini ialah “mesti pasangan dalam novel ini sepupu”. Sememangnya tajuknya begitu. Begitulah acuannya.

Mari mengenali heroin novel ini – Nana. Seorang gadis sunti yang masih menuntut di universiti. Bercita-cita menjadi seorang pendidik. Nana yang telah jatuh cinta pada sepupunya sendiri, Hisyam. Nana patah hati saat mengetahui Hisyam bertunang dengan Hani. Dia redha dengan ketentuan Ilahi. Andai ada jodoh, berpisah tujuh benua sekalipun, cepat atau lambat bersatu akhirnya. Berpegang pada janji Ilahi, dia ada jodoh dengan sepupunya itu. Apa yang menjadi sebab kepada ikatan pernikahan mereka..? Anda kena beli buku ni dan baca dengan penuh penghayatan ya.

Hisyam, hero dihati Nana merupakan seorang doktor yang sangat mengambil berat, memahami, dan penyayang. Kerisauannya pada isteri yang sedang mengandung membuatkan beliau mengambil keputusan untuk tidak membenarkan Nana untuk bekerja. Walhal dia sedar bahawa itulah cita-cita Nana sejak dulu lagi. Menjadi pendidik anak bangsa.

Hani, watak antagonis ini dicipta untuk memporak peranda rumahtangga Hisyam dan Nana. Siapa Hani sebenarnya? Beli dan baca novel ini. Pelbagai strategi telah Hani aturkan semata-mata untuk mendapatkan cinta Hisyam.

Kuatkah Nana menghadapi dugaan ini atau mengalah demi kebaikan dan kesejahteraan insan yang disayanginya? Temui kesudahannya dalam Sepupuku Suamiku karya Lynn Allyna.

Bicara Ummu Ammar :

Jarang sekali kita dengar orang jatuh cinta dengan sepupu sendiri. Tapi tidak mustahil bukan. Kerana cinta dating dengan sendirinya. Datangnya tidak dijemput perginya tidak dihalau. Lynn Allyna menggarap cerita ini dengan penuh rasa cinta yang amat mendalam. Ini dapat dilihat pada watak utamanya, Nana dan Hisyam.

Saya amat kagum dengan watak Hisyam yang berjanji akan setia dan belajar untuk mencintai isterinya pada saat lafaz akad. Itu yang sepatutnya dilakukan oleh semua suami. Tidak kira isteri yang dinikahi itu atas dasar cinta atau paksa.

Terserlah ketidakmatangan Nana dalam membuat keputusan. Sesuai dengan watak Nana yang “terpaksa” bernikah di usia muda. Rajuknya, sikap malu-malu nya apabila berhadapan dengan suami amat berkesan pada saya.

Buku yang mempunyai banyak pengajaran sebenarnya. Bacalah untuk menimba ilmu, kutip segala pengajaran yang ada. Yang baik dijadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan. Mari kita selami hati Nana yang penuh dengan cinta tetapi lebih rela berkorban demi cinta dalam novel ini.

No comments: