Wednesday, September 07, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (9) Lili Buat Najah


UA : Cabaran 50 Buku : (9) Lili Buat Najah

Judul : Lili Buat Najah

Penulis : Nazurah Aishah

Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.

Halaman: 530 m/s

ISBN : 978-967-5118-02-9

Cetakan kedua Mei 2008


Kulit belakang novel :

Telah kau tunai seribu janji

Satu kau mungkiri…hidup bersamaku…

Aku dan Najah kenal di depan Stadium Old Trafford,

Berkahwin sembunyi-sembunyi di Tanah Ratu. Sekembali ke tanah air, aku dan Najah harus pula menjadi pelakon di depan mama yang sudah ada pilihan sendiri.

Itulah permulaan kisah ini… yang bagaikan sudah terang lagi bersuluh. Apakah aku boleh memilih jalan ceritaku sendiri, Najah? Jika tidak, bagaimana pula dengan perasaan?

Berkorban perasaanlah yang paling memedihkan, kerana perasaan itu tidak pernah ada bau dan warna: lalu sukarnya untuk orang lain memahami, apatah lagi merasai…

Tulis Najah:

Apalah maknanya bulan kalau langit diselubungi mendung

Apalah ertinya mentari kalau sinarnya dihalang gerhana

Jadi bagaimana aku harus terus hidup

Kalau mentari tak mahu berkongsi kehangatannya

Dan bulan tidak mahu meminjamkan sinarnya…?

Najah, sudah jadi fitrah alam… matahari itu tetap terbit dari arah timur, dan bulan pula tetap setia menemani malam.

Bicara Ummu Ammar :

Nazurah Aishah telah lama menulis novel ini. Hanya saya saja yang mungkin ketinggalan sedikit masa ke belakang. Lili buat Najah judul yang diberi. Menjadi hobi saya untuk membuatkan spekulasi tentang tajuk sebuah novel. Dan tuduhan saya untuk novel ini ialah Najah seorang wanita yang gemarkan bunga lili. Sangkaan saya meleset sekali, pada halaman kedua saya temui jawapan. Najah seorang lelaki. Nah, jantung saya terus berdetak bukan dengan kelajuan biasa. Cerita apa ni..? Kisah siapa ni? Lalu, tanpa berlengah saya membaca dan terus membaca melayari ceritera indah suka duka tangis tawa Shahrun Najah – Tasha dengan linangan air mata.

Pada perkiraan saya, inilah kehidupan sebenar. Dalam bahagia yang dikecapi pasti badai dan rintangan menjelma jua menguji kesabaran, kesetiaan juga keimanan kita kepadaNya. Pada siapa ingin meminta pertolongan melainkan Dia yang Esa..? Dia yang mendatangkan ujian dan padaNya juga adanya jalan penyelesaian. Ia juga menyedarkan saya untuk sentiasa bersedia. Bersedia untuk tidak bersedia.

Kisah ini membenarkan bahawa bukan semua orang akan “we live happily ever after”, bukan kisah dongeng Cinderella atau putera katak. Ajal maut di tangan Dia. Semua telah disusun olehNya dengan begitu cantik.

Apa pilihan yang ada pada Tasha melainkan berdoa dan terus berdoa agar suami tercinta sembuh dari penyakit kanser yang dihidapinya. Hal ini sangat mengagumkan saya. Penulis meletakkan Tasha sebagai seorang realist yang sangat bergantung dengan simpati dari Allah. Hanya doa sebagai senjata yang dimiliki. Untuk menyembuhkan suami, dia tidak mampu. Lantas, dua tangan diangkat memohon merayu agar tidak diambil arjuna hati. Kebergantungan Tasha pada Allah sangat tinggi walaupun Tasha sendiri tahu yang Najah tidak mungkin akan sembuh.

Bicara soal Najah. Cinta memungkinkan segala. Kerana jatuh cinta pada Tasha, Najah yang pada ketika itu berada pada tahap agak kritikal bangun melawan penyakitnya atas nama cinta. Dan sekali lagi dapat dilihat pada kuasa cinta iaitu saat-saat kelahiran anak sulungnya. Digagahkan jua diri untuk bersama isteri tersayang dan anak yang baru melihat dunia walaupun tatkala itu Najah berada pada tahap kritikal.

Namun Tasha tetap beruntung kerana dia tahu Najah bakal meninggalkannya. Tapi kita…? Tahukah kita bila masanya Allah nak tarik orang-orang disekeliling kita? Tidak bukan..maka..bersedialah dengan apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku.

Tahniah kepada penulis kerana berjaya menyentuh hati para pembaca. Terima kasih kerana mengingatkan saya tentang Doa. Sesungguhnya peringatan itu sangat berkesan pada saya dan mungkin pembaca lain. Tahniah cik Naz! Moga senantiasa dalam rahmat dan redha Allah. Ameen.

Harini adalah kenyataan..Esok belum pasti…Berdoalah…

No comments: