UA : Cabaran 50 Buku : (20) Langsir Biji Remia
Judul : Langsir Biji Remia
Penulis : Noor Suraya
Terbitan: JS Adiwarna Sdn. Bhd.
Halaman: 263 m/s
ISBN : 978-967-0201-13-9
Cetakan pertama 2011
Kulit
belakang novel :
Duha Hafa anak tunggal Dr. Hud Othman dan Puan
Taslima. Dia cantik dengan mata bundar sayu seperti mata unta di padang pasir.
Umair terpikat sejak dia masih kecil lagi. Sepuluh tahun berlalu dan mereka bertemu semula. Kini Duha Hafa sudah memakai purdah hitam, dan dia bukan lagi gadis periang dan ramah. Kenapa dia berubah? Apa yang tersembunyi di sebalik purdah hitam itu?
Langsir Biji Remia mengajar kita bersyukur dengan nikmat daripada Dia.
****
Kelebihan karya NOOR
SURAYA terletak pada bahasanya yang lembut berserta ceritanya yang memikat.
Pemegang ijazah Sarjana Linguistik daripada Universiti Malaya ini menulis
dengan hatinya. Disiplin menulisnya diterap sejak menjadi pelajar Komunikasi di
Universiti Sains Malaysia lagi. Munsyi Dewan ini pernah memenangi beberapa
hadiah penulisan antaranya Hadiah Utama Sayembara Cerpen Esso-Gapena IX (1992)
dan Hadiah Penghargaan Menulis Cerita Kanak-kanak Mobil-DBP (1998).
Sinopsis :
Kisah remaja seorang Duha Hafa yang kini menjalani hidup dengan
penuh rasa rendah diri yang teramat sangat setelah melalui kejadian ngeri itu.
Bukan pintanya untuk dijadikan sebegitu, tidak pernah pun bermimpi untuk
melalui pengalaman pahit itu. Tragedi yang meragut separuh dari wajahnya yang
suatu waktu dahulu bisa memukau sesiapa saja yang memandang wajahnya tidak kira
lelaki mahupun wanita, yang muda mahupun yang telah berusia. Disebabkan rasa
rendah diri itu, niqab disarungkan bagi menutup seri yang telah hilang dari
wajahnya.
Umair sahabat tingkap sedari kecil. Umair, lelaki yang terlalu
inginkan kesempurnaan. Sebab itu dia layak mengambil jurusan perakaunan. Di
sudut hatinya yang paling dalam tersimpan rasa ‘cinta’ pada Duha Hafa. Cinta
yang telah 10 tahun dia pendam. Katanya cintanya hanya pada sahabat tingkapnya.
Cintanya tidak pernah berubah. Titik. Lalu, dek kerana rasa yakin akan cintanya
pada Duha, risikan dihantar melalui kak Ain dan kak Hada sebagai orang tengah.
Ahmad Muhsin. Jejaka yang dikenali Duha di Madinah al-Munawarah
sewaktu mengerjakan umrah bersama ayahnya Doktor Hud. Bakal peguam yang soleh
dan muslih insyaAllah. Mulanya sekadar ‘usik-usik’ oleh kakak-kakaknya
berkenaan dengan Duha dan disokong pula oleh ayahnya. Untuk tidak serabutkan
fikiran, pada Dia Muhsin serahkan segalanya. Istikharah. Memohon petunjuk dan
ilham yang benar buat jaminan di masa hadapan.
Dan Duha Hafa …. Perlukah ditunggu si Umair yang ‘menghina’
dirinya kerana tidak lagi jelita wajahnya seperti sepuluh tahun dahulu..? Atau
memberi peluang pada Ahmad Muhsin yang meminangnya atas alasan bapanya berkenan
dengan Duha? Ikuti kesudahannya dalam Langsir
Biji Remia karya Noor Suraya.
Bicara Ummu Ammar :
Langsir
Biji Remia karya
novelis terulung kak Noor Suraya kali ini tidak menghampakan UA. Sesuai dengan
temanya ‘Si Manis 17’. Dengan bahasa yang mudah dan jalan cerita yang ringkas
dan ringan, maksud UA tidak kompleks seperti novel-novel umum yang lain.
Penulis
berjaya menghidupkan setiap watak dalam pentas Langsir Biji Remia. Duha dengan
rasa rendah dirinya apabila keindahan wajahnya di saluti parut-parut panasnya
api. Umair dengan ‘kesempurnaannya’. Ahmad Muhsin dengan rasa kehambaan yang
amat tinggi pada Sang Pencipta.
Kagum
dengan Duha yang berkeras tidak mahu melakukan pembedahan plastik ke atas
wajahnya kerana bimbang perasaan riak merajai hati apabila wajahnya kembali
indah seperti sebelumnya. Cintakah itu wahai Umair jika melihat wajah Duha
sahaja kamu merasa jijik walhal sepuluh tahun dulu Duha Hafa yang inilah yang
kamu gilakan separuh mati.
Kak Su berjaya membawa UA ke bumi anbiya sana membuatkan rasa rindu yang tidak terhingga pada Masjidil Haram, Masjid Nabawi. Bagaimana titik pertemuan antara Adam dan Hawa setelah lama dipisahkanNya. Moga diberikan ruang, peluang dan rezeki..ya rezeki utk UA beribadah di sana. Ameen.
Apa yang
dapat UA simpulkan melalui Langsir Biji Remia iala hakikat cinta itu terlalu abstrak
untuk dirungkaikan. Cinta itu kurniaan Tuhan menerangi sanubari insan.
Bagaimana Allah menitipkan rasa cinta pada Duha Hafa dalam hati Ahmad Muhsin
sehinggakan wajah itu terlalu indah di pandangan mata Muhsin tetapi tidak
Umair.
No comments:
Post a Comment