Friday, November 18, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (21) 3 Jantung Hati


UA : Cabaran 50 Buku : (21) 3 Jantung Hati
Judul     : 3 Jantung Hati
Penulis : Nisyah
Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Halaman: 430 m/s
ISBN      : 978-967-5118-50-0
Cetakan kedua Februari 2011

Kulit belakang novel :
Benarkah cinta seorang perempuan terhadap seorang lelaki itu seumur hidupnya? Biarpun lelaki itu telah tiada di alam fana ini, benarkah cintanya tidak pernah berusik? Biarpun waktu berlalu, benarkah kasihnya takkan berubah?
Lalu bagaimana pula andainya muncul seorang lelaki lain yang setara? Kalaupun tidak lebih baik daripada si jantung hatinya yang telah pergi itu, apakah cintanya akan beralih arah? Susahnya memahami hati perempuan, kadang-kadang dalamnya tidak terduga; kadang-kadang berkata ‘ya’ di dalam, di luar tetap mengaku ‘tidak’!
Sukar sungguh hidup Nadira setelah suaminya mati, meninggalkan dia merana bersama anak kecil si jantung hatinya. Ah, bertambah sukar hidupnya setelah menjadi ibu tunggal itu, tiba-tiba muncul dia! Dia yang berebut mahu jadi jantung hatinya yang ketiga. Sanggupkah dia membiarkan hatinya diisi lagi, kalau kasihnya pada Imran sudah penuh?

Sinopsis :
3 Jantung Hati mengisahkan kisah hati seorang balu merangkap ibu tunggal diberi nama Nadira. Wanita cekal ini menyara hidupnya dan anaknya dengan menjadi ‘Party Planner’ , suatu pekerjaan yang UA kira sangat ‘enjoy’ tetapi memenatkan. Nadira tiada pilihan. Dia harus bekerja keras kerana dalam masa yang sama dialah ibu dia jugalah ayah kepada Ensha. Namun, syukur Alhamdulillah, dia dikurniakan seorang teman, sahabat dan taulan yang amat memahami dan mengambil berat akan mereka berdua, Oya.

Perkenalan Nadim, Ensha dan Nadira secara tidak sengaja di sebuah pusat rekreasi menerbitkan suatu perasaan lain dalam diri Nadim. Perasaan yang tidak dapat dia gambarkan dengan kata-kata. Senang cerita, dia ANGAU! Dia jatuh cinta pandang pertama. Menjadi sesuatu yang sangat melucukan apabila seorang eksekutif berumur hampir 40 tahun jatuh cinta.

Nadira…? Masih dibayangi kenangan-kenangan indah bersama arwah suaminya. Perlukah dilayan rasa hati Nadim itu atau membiarkan sahaja impian dan angan-angan Nadim? Semudah itukah jalinan kasih antara mereka..? Cari jawapannya dalam 3 Jantung Hati.

Bicara Ummu Ammar :
Ini buah tangan pertama Nisyah di bawah naungan Jemari Seni. Percubaan yang UA kira tidak menghampakan setiap pembaca. Tahniah Nisyah! Cerita digarap dengan penuh berhati-hati. Mungkin kerana Nadira seorang balu atau janda. Cerita lain daripada yang lain. Bukan lagi kisah teruna dan dara, tetapi kisah balu dan anak teruna.

Nadira nyata tersepit dengan situasi yang memaksanya untuk membuat pilihan. Antara kasih pada suami yang telah pergi dan rasa yang mula bertapak dalam hati. Dia cuba untuk setia pada yang telah tiada lalu menafikan rasa cinta yang telahpun bertunas dalam sanubarinya. Apapun, cinta itu datang sendiri, langsung tidak terduga oleh kita.

UA amat kagum dengan kesungguhan Nadim dalam memenangi hati Nadira dan Ensha. Biar apa pun yang datang menghalang, cinta itu tetap bertakhta di hati.


No comments: